Tok Kadi buli pengantin?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tular di media sosial mengenai hantaran yang memaparkan kisah pengantin 'dibuli' ketika majlis pernikahan berlangsung di masjid di Kedah baru-baru ini.

Pendedahan itu dibuat oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung ketika dia menghadiri upacara perkahwinan sepupu sebelah isterinya dan mendapat layanan kurang baik daripada muazzin, imam dan saksi majlis berkenaan.

Menurutnya, pada jam 12.45 tengah hari dia dan keluarga sudah tiba di sana dan disapa mesra oleh jemaah masjid apabila mengetahui kehadiran mereka adalah bersama rombongan pengantin lelaki.

"Isteri, ibu saudara (ibu pengantin), tetamu dan anak perempuan saya berada di luar ruang solat terpinga-pinga mencari di manakah tempat solat Muslimah sebab itu kali pertama di situ. Tiba-tiba datang seorang lelaki tua menaiki motor, isteri saya ucapkan salam dan bertanya dengan nada yang sopan 'Pakcik, dimana tempat solat Muslimah ya?'

"Tanpa sebarang provokasi, pakcik itu meninggikan suara 'Bukan sini, masuk kat situ. Ini ruang solat lelaki'. Rupa-rupanya, dia muazzin masjid dan kemudian dia pula menjadi imam. Selepas solat Zohor, dia tanya kepada abang pengantin 'ada apa?' dan dia menjawab 'ada akad nikah kejap lagi'.

"Bagaimanapun, pakcik itu menafikan dan berkata tiada dalam rekod. Tiba-tiba seorang lelaki masuk menyapa dan memaklumkan Tok Kadi akan datang selepas kenduri," katanya menerusi satu hantaran di TikTok pada Ahad.

Tangkap layar hantaran Firdaus Wong di TikTok pada Ahad.
Tangkap layar hantaran Firdaus Wong di TikTok pada Ahad.

Mengulas lanjut, Firdaus memaklumkan, apabila jam menunjukkan 2 petang, dia dan keluarga pengantin masuk ke ruang yang sudah dimaklumkan sebelum itu dan secara tiba-tiba ada seorang lelaki pertengahan usia mengusir perempuan untuk duduk pada satu bahagian sahaja.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ketika itu sebenarnya boleh dipertimbangkan kerana jumlah wanita yang hadir melebihi lelaki, namun situasi itu seolah-olah tidak ada toleransi.

"Tok Kadi melangkah masuk dalam jam 2 lebih. Lewat, tak ada minta maaf atas kelewatan tapi terus bagi tazkirah. Bukan bagi tazkirah kepada pengantin tetapi kepada tetamu, antara yang disebut adalah semasa majlis berlangsung, tiada siapa pun boleh bersuara.

"Selepas daripada itu, dia baca surah al-Isra 17:32 dan kemudian surah an-Nisa 4:1. Kemudian Tok Kadi serahkan kad pengenalan pengantin lelaki kepada pakcik berkenaan, dia jadi saksi dengan lelaki yang halau perempuan.

"Pada saat itu, sudah terdetik dalam hati saya berharap mereka tidak akan buli pengantin dan kebimbangan itu bertukar menjadi realiti apabila bertalu-talu soalan ditanya sedangkan ia sudah disoal kepada bapa raja sehari berkenaan," ujarnya.

Tambah Firdaus Wong, ketika itu dia melihat wajah ibu pengantin lelaki sedang menahan geram sambil menggeleng kepala beberapa kali.

Menurutnya, jika diikutkan, dialah (ibu pengantin lelaki) merupakan wanita yang sangat penyabar tapi ketika itu dapat lihat reaksi kekecewaan dan geramnya.

"Saya memangil abang pengantin yang bertindak sebagai jurugambar dan memintanya untuk memaklumkan kepada bapa pengantin perempuan suruh saksi itu berhenti buli pengantin lelaki.

"Bapa pengantin perempuan mencuit saksi yang buli pengantin itu dan meminta supaya berhenti tanya soalan dan teruskan akad nikah. Kemudian pakcik itu menyuruh semua orang bersabar dan masih bertanya soalan kepada pengantin dan meminta pengantin lelaki ulang lafaz nikah.

"Saya terus menyampuk dan minta dia segerakan akad nikah tetapi dimarahi pula katanya sudah dipesan sejak awal tiada siapa boleh menyampuk sewaktu majlis sedang berlangsung.

"Tambah pakcik itu, dia sudah 10 tahun uruskan acara seperti itu dan minta untuk keluarga pengantin batalkan pernikahan itu dan boleh terus ke pejabat agama jika mahu," jelasnya.

Ujar Firdaus Wong, berdasarkan pengetahuannya, urusan pernikahan perlu dipermudahkan dan prosedur yang dilakukan oleh pihak masjid berkenaan adalah sama sekali tidak betul.

Katanya, walaupun sudah menghadiri banyak majlis pernikahan di negeri berkenaan, namun belum pernah melihat adegan buli.

"Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah sempurna dan memudahkan untuk semua orang.

"Adakalanya yang membuatkan agama Islam ini rumit dan hodoh bukan kerana ajaran Islam tetapi penganutnya yang baru sahaja diberikan sedikit kuasa tetapi suka menyusahkan orang lain.

"Laporan akan dibuat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah agar imej Islam tidak dicemari karakter pembuli seperti itu," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!