Koronavirus: Kontak rapat kes ke-18 positif berjaya dikesan

Sidang media KKM di sini hari ini.
Sidang media KKM di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 22 individu yang merupakan kontak rapat kepada kes 18 positif koronavirus di Kuala Langat telah berjaya dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu tiga individu merupakan ahli keluarga lelaki berusia 31 tahun tersebut iaitu ibu, adik dan sepupu.

"19 individu lagi merupakan anggota kesihatan yang merawat lelaki berkenaan tanpa memakai peralatan pelindung diri," katanya.

Menurutnya, sampel telah diambil bagi ketiga-tiga ahli keluarga itu untuk ujian pengesanan saringan.

"Kita juga sedang mengambil sampel daripada anggota perubatan yang merawatnya," katanya.

Setakat jam 10 pagi tadi, seramai 18 kes positif koronavirus disahkan termasuk tiga daripadanya telah pulih dan dibenarkan pulang.

Pagi tadi, KKM mengesahkan penambahan kes positif ke 18 melibatkan rakyat tempatan yang bekerja di Macau, China dan mempunyai sejarah perjalanan melawat ke tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada 1 Februari.

Beliau berkata, kesemua pesakit berada dalam keadaan stabil termasuk rakyat tempatan yang sedang menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini mereka semua masih dalam keadaan stabil," katanya pada sidang media perkembangan terkini wabak koronavirus di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati semua warga KKM untuk lebih peka kepada situasi

semasa berkaitan koronavirus bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dan respon terhadap penyakit ini.

"Orang awam juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pengamal perubatan sekiranya bergejala dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke negara China," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan arahan bekerja dari rumah dikeluarkan oleh kerajaan, Dr Dzulkefly berkata, situasi semasa masih terkawal.

"Kementerian belum menemui indikasi yang menuntut langkah bekerja dari rumah di kuatkuasakan di negara ini.

"Kita belum sampai ke tahap itu namun kepada syarikat, ia terpulang kepada mereka untuk melaksanakan langkah tersebut," katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai fasa tertentu sebelum sesuatu amaran seumpama itu dikeluarkan.

"Kita ada empat fasa iaitu fasa amaran, pembendungan awal, pembendungan akhir sebelum langkah mitigasi dilaksanakan.

"Ketika ini kita masih di tahap pembendungan awal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!