Lebih 76 juta pengundi AS sudah memilih

Undi melalui pos adalah kaedah yang paling ditentang keras oleh Trump sebelum ini.
Undi melalui pos adalah kaedah yang paling ditentang keras oleh Trump sebelum ini.
A
A
A

WASHINGTON - Debaran kian terasa untuk menentukan siapa bakal menjadi Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) pada Pilihan Raya Presiden AS ke-60 yang dijangka sengit, berlangsung pada Selasa.

Data rasmi dikeluarkan sehingga Isnin menunjukkan lebih 76 juta daripada kira-kira 168 juta pengundi sudah menjalankan kewajipan mereka menerusi pengundian awal dan kira-kira 44 peratus daripadanya merupakan penyokong Parti Demokrat.

Ketika Pilihan Raya Presiden AS 2020, hampir 60 juta menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi menjelang tarikh 25 Oktober tahun sama.

Empat tahun lalu digelar sebagai ‘pilihan raya unicorn’ kerana pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pengundi memilih undi secara pos, malah seluruh negeri di AS cuba memudahkan proses tersebut di tengah-tengah sekatan ketat yang masih berkuat kuasa.

Undi melalui pos bagaimanapun ditentang keras bekas Presiden, Donald Trump.

Selama beberapa bulan, Trump mendakwa undi secara pos kononnya adalah satu penipuan.

Pemilihan sebelum 2020 menyaksikan banyak negeri menawarkan pengundian awal kepada mereka yang berdepan kekangan untuk membuang undi pada hari pengundian sebenar.

Sebagai contoh, pada tahun 2000, sebanyak 24 negeri memberi peluang mengundi awal dan angka itu meningkat kepada 28 negeri pada Pilihan Raya Presiden AS 2008.

Artikel Berkaitan:

Analisis oleh Pusat Inovasi dan Penyelidikan Pilihan Raya menunjukkan ia terus menyaksikan peningkatan sebanyak 31 negeri pada 2016.

Bagi tahun ini, sebanyak 47 negeri memberi peluang kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka lebih awal.

TRUMP SOKONG UNDI AWAL

Jumlah pengundi awal sehingga Ahad berdasarkan data disediakan TargetSmart dan diterbitkan NBC News Decision Desk.
Jumlah pengundi awal sehingga Ahad berdasarkan data disediakan TargetSmart dan diterbitkan NBC News Decision Desk.

Salah satu trend ditunjukkan data pengundian awal pada tahun ini adalah jurang jantina yang ketara dengan kira-kira 54 peratus pengundi awal ialah golongan wanita terutamanya di tujuh swing states.

Data itu diperoleh Election Lab berdasarkan laporan di setiap negeri.

Trend lain yang dikenal pasti ialah lebih ramai penyokong Parti Republikan (GOP) mengundi awal berbanding empat tahun lalu.

Ketika Trump bersaing dengan Presiden Joe Biden, sebanyak 30 peratus pengundi awal ialah penyokong GOP, manakala hampir 45 peratus adalah penyokong Parti Demokrat.

Jurang pada tahun ini agak tipis dengan 36 peratus pengundi awal adalah penyokong GOP, manakala 38 peratus adalah penyokong Demokrat.

Lebih ramai penyokong GOP mengundi awal pada kali ini berbanding pada 2020.
Lebih ramai penyokong GOP mengundi awal pada kali ini berbanding pada 2020.

Selain itu, satu lagi corak perbezaan pengundian awal pada kali ini ialah penglibatan pengundi muda berusia antara 18 dan 25 tahun yang mencatatkan jumlah tidak sampai 10 peratus.

Menurut Pusat Untuk Maklumat & Penyelidikan tentang Pembelajaran dan Penglibatan Sivik (CIRCLE), kira-kira 70 peratus pengundi dalam kumpulan umur tersebut mengundi awal pada 2020, berbanding pengundi dalam kelompok 30 dan 44 tahun.

Pada pertengahan bulan lalu, Trump mendahului pesaingnya dalam data tinjauan pengundian awal, namun berjaya diatasi Harris pada akhir Oktober dengan 63 peratus, manakala calon GOP tersebut hanya meraih 34 peratus.

Pendirian Trump pada kali ini juga berubah apabila beliau menggesa penyokong GOP supaya mengundi awal meskipun kaedah itu pernah dikecam olehnya ketika berucap pada perhimpunan di Pennsylvania pada September lalu.

“Undi awal adalah pilihan yang baik. Apa yang penting, anda harus keluar mengundi awal walaupun saya mempunyai pandangan yang berbeza,” katanya ketika wawancara bersama Fox News, baru-baru ini.

Trump dilihat semakin terdesak untuk menewaskan Demokrat dan menyarankan penyokong GOP supaya menggunakan segala kaedah yang ada untuk membuang undi.

Meskipun penyokong kedua-dua parti berlumba-lumba untuk mengundi awal, trend pada kali ini dikatakan tidak akan menentukan secara tepat siapa akan menggantikan Biden di Rumah Putih dan hanya memberi bayangan awal. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!