Elak tekanan buru tiket WTF - Shevon

Shevon (kiri) dan Soon Huat mahu fokus tingkat prestasi berbanding tekanan buru tiket WTF. - Foto Agensi.
Shevon (kiri) dan Soon Huat mahu fokus tingkat prestasi berbanding tekanan buru tiket WTF. - Foto Agensi.
A
A
A

PASANGAN suami isteri, Shevon Lai-Goh Soon Huat enggan memberi tekanan buat diri sendiri dalam misi memburu tiket ke kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China akhir tahun ini.

Shevon sebaliknya mahu memberi fokus kepada peningkatan prestasi menjelang dua lagi kejohanan sebelum WTF iaitu Jepun Masters dan China Masters bulan ini.

Malah beliau memaklumkan bahawa peluang mereka untuk WTF adalah cerah, namun senarai rasmi belum dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Belum mahu fikir lagi WTF kerana hanya tahu perkara itu melalui media sosial. BWF belum maklum secara rasmi.

"Peluang (WTF) memang ada dan kalau layak sangat gembira serta berpuas hati. Namun mahu fokus kepada dua kejohanan terlebih dahulu sebelum fikir WTF," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebagai rekod, mereka pernah menyertai WTF pada 2018, 2020 dan 2022 dengan pencapaian terbaik adalah layak ke separuh akhir ketika melakukan penampilan kedua pada kejohanan tersebut.

Mereka ketika ini berada di ranking keempat WTF di belakang satu lagi beregu campuran negara, Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei.

Shevon menjelaskan proses latihan mereka di Sri Petaling bersama rakan sepelatih termasuk beregu lelaki profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjalan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dalam tempoh ini fokus mereka adalah untuk meningkatkan konsistensi dan kestabilan dalam permainan, selain mahu mengelak daripada sebarang kecederaan.

Malah beliau juga enggan meletakkan sebarang sasaran pada baki kejohanan pada tahun ini kerana mahu fokus memberi yang terbaik ketika dalam gelanggang.

"Persaingan setiap kejohanan berbeza dan sudah pasti ia adalah sengit. Peluang (untuk pergi jauh) juga bergantung kepada keputusan undian.

"Persediaan mental dan fizikal juga baik. Malah keputusan (kejayaan) pada tahun ini juga amat baik, lebih daripada jangkaan," katanya.

Sebagai rekod Shevon-Soon Huat merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland pada Mac dan Malaysia Masters Mei lalu.

WTF dijadual berlangsung di Hangzhou bermula 11 hingga 15 Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!