Realiti gaji tidak setinggi harapan
BESAR betul ‘nafsu’ generasi Z kini. Apa tidaknya gaji baru RM1,700 sebulan tapi mahu beli kereta import berharga RM163,000.
Membaca perkongsian penjual kereta import, Wan M Faris baru-baru ini membuatkan penulis menarik nafas panjang. Kongsi Wan M Faris, dia berurusan dengan pelanggan muda yang mahu memiliki kereta idaman ratusan ribu ringgit sedangkan hanya miliki gaji minimum.
Pemuda itu katanya akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM6,000 dengan tempoh pinjaman selama sembilan tahun bagi pembelian Honda Civic FL1 idamannya.
Bukan sahaja dilihat tidak ukur baju di badan sendiri, malah pemuda itu turut meminta diberi diskaun sebanyak RM63,000. Sebelum ini, seorang lagi ejen jual kereta pernah kongsi pengalaman sama.
“Ada yang mahu kereta BMW tanpa deposit dengan bayaran bulan antara RM400 hingga RM500, Honda City sedangkan gaji bersih RM1,700 hingga RM2,100, Mitsubishi Lancer GT dengan gaji setiap bulan sekitar RM1,600 atau Volkswagen Polo tetapi gaji RM2,000,” kongsi ejen itu.
Malah ejen kereta itu juga pernah mencadangkan agar mereka memilih kenderaan lain yang sesuai dengan pendapatan bulanan, namun ada daripadanya merasakan ia tidak ada ‘standard’.
Membaca perkongsian mengenai perangai generasi Z itu penulis secara automatik mencongak-congak bagaimana mereka mahu meneruskan kelangsungan hidup jika hutang melebihi gaji.
Realitinya, kereta mewah memerlukan komitmen bulanan yang tinggi, dengan hanya paras gaji tertentu sahaja yang mampu membayarnya secara konsisten.
Namun, sikap ‘takut ketinggalan’ dan You Only Live Once (YOLO) yakni hidup hanya sekali yang menyelubungi golongan muda antara punca mereka sanggup berhutang dan akhirnya terjerumus muflis.
Laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan 53,000 individu di bawah 30 tahun sudah dibebankan hutang hampir RM1.9 bilion.
Pendedahan itu bukanlah mengejutkan kerana berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia, julat umur lingkungan 25 hingga 44 tahun merupakan kumpulan yang majoriti jumlah kebankrapan bagi tahun 2020 hingga Mac 2024.
Melalui statistik itu, pinjaman peribadi menjadi penyebab utama golongan muda terperangkap kebankrapan diikuti pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit.
Menurut Tinjauan Celik Kewangan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, hanya 36 peratus rakyat Malaysia menunjukkan pemahaman konsep kewangan asas, seperti kadar faedah, inflasi dan risiko.
Selain itu, perangkaan belia yang berhutang amat mengejutkan. Pusat Kajian Tinjauan UCSI mendedahkan bahawa 73 peratus belia Malaysia berhutang. Lebih membimbangkan, mereka juga tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memenuhi komitmen kewangan mereka.
Menyelami jiwa muda, penulis faham impian mereka mahu memiliki sesuatu diidamkan. Apatah lagi baru bekerja selepas tamat pengajian di universiti. Contohnya, ada yang jangka mampu memiliki kereta mewah apabila menerima gaji tinggi selepas tamat universiti.
Namun hakikatnya, gaji yang diterima daripada pekerjaan sektor tertentu agak rendah dan tidak sesuai dengan ekonomi semasa.
Ini kerana kebanyakan graduan universiti menjangkakan menerima gaji pertama sekurang-kurangnya RM3,000 sehingga RM5,000.
Menurut Khazanah Research Institute (KRI), kajian pada 2024, sebanyak dua pertiga graduan baharu kekal terperangkap dalam gaji rendah iaitu dengan permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi.
Menerusi laporan bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents, KRI mendapati pertumbuhan gaji di Malaysia adalah perlahan dan tidak banyak berubah sejak sedekad lalu.
Kajian menunjukkan perkembangan kerjaya graduan Malaysia itu mendapati 65.5 peratus graduan pada 2021 mempunyai gaji permulaan kurang RM2,000.
Kesimpulannya, berbaliklah kepada dunia realiti. Hidup ini ‘keras’, utamakan keperluan bukan kehendak!
* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Web Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!