FashionValet: Pastikan siasatan telus tanpa memihak sesiapa
BELUM reda dengan ‘Tragedi Oktober’ pasangan selebriti bercerai, awal November pula gempar apabila usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof akhirnya membuka mulut bagi menjawab segala persoalan berhubung kerugian RM43.9 juta ditanggung Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Menerusi hantaran di Instagram, beliau dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar terlebih dahulu memohon maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu selain menegaskan bakal mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan.
Katanya, selaku pengasas bersama FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), beliau dan suami akan melepaskan jawatan dan memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Bagaimanapun, selepas menjelaskan perkara sebenar panjang lebar, majoriti warganet mengakui masih belum berpuas hati kerana Vivy hanya membuat permohonan maaf tetapi tidak menyatakan bakal menggantikan semula dana yang digunakan kerana ia adalah wang rakyat.
Netizen dan beberapa golongan pemikir berpandangan, tindakan meletak jawatan bukan satu langkah bertanggungjawab, tetapi ‘lari’ dari tanggungjawab.
Begitupun, belum sempat 24 jam selepas Vivy membuat penjelasan berhubung perkara terbabit, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mulai campur tangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah mengarahkan pegawai untuk menyiasat isu tersebut kerana ia melibatkan isu dana dan kepentingan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering melaungkan slogan bebas rasuah dan salah guna kuasa juga mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian.
Jelasnya lagi, arahan tegas itu menjadi sebahagian tindakan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Terbaharu, SPRM menyerbu empat lokasi membabitkan FashionValet bagi menjalankan siasatan lanjut.
Menerusi video dimuat naik SPRM di TikTok pada Isnin, kelihatan beberapa pegawai menggeledah masuk premis FashionValet dan memeriksa dokumen sambil menyoal siasat secara ringkas.
Apa pun, usaha SPRM dalam membendung penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh disangkal lagi dengan tindakan pantas yang diambil agensi berkenaan.
Bagaimanapun, orang ramai pasti mengharapkan agar siasatan dijalankan dengan telus dan tidak memihak kepada sesiapa kerana isu sebegini nampaknya sudah lama didiamkan begitu sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!