Agamawan perlu berhati-hati dalam banyak perkara
Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat merangkumi RUU Mufti Wilayah, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah.
Majoriti bersetuju dengan pelaksanaan RUU itu namun saya sedikit musykil apabila ada yang menolak sedangkan RUU itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berdasarkan manhaj akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Mengapa menjadi satu perkara yang agak rumit sehingga menjadi perbahasan di media sosial.
Sebelum timbul isu RUU Mufti Wilayah ini, saya agak terkilan dengan sikap segelintir tokoh agama yang pernah antaranya menyokong penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam. Kalau kita lihat hal ini boleh diselesaikan dengan adanya RUU Mufti Wilayah yang ada kaitan dengan permasalahan akidah.
Begitu juga mengenai zakat, tokoh agama tertentu mengeluarkan kenyataan bahawa zakat boleh diberikan kepada bukan Islam sedangkan itu salah dan menggores hati pembayar zakat seterusnya boleh mengurangkan kutipan zakat. Akibatnya, asnaf yang lapan terutamanya asnaf fakir dan miskin akan terjejas teruk.
Bahkan tidak betul menyatakan membayar zakat di luar kawasan dan lokasi pembayar zakat adalah dibolehkan, sedangkan hukum sebenar adalah sebaliknya.
Tentang pandangan berkaitan solat Jumaat ketika Covid, hanya tiga orang sahaja termasuk imam, bilal dan noja, sedangkan mazhab Hanafi sendiri empat orang termasuk imam, sama macam mazhab Syafie empat orang termasuk imam. Yang tiga orang tidak termasuk imam itu telah termansuh.
Mengenai pandangan tokoh agama itu bahawa dalam mazhab Hanafi membaca Bismillah adalah wajib dalam solat sebelum Fatihah, sedangkan hukum membaca Bismillah itu adalah sunat kecuali dalam surah al-Naml ayat 30. Ia berdasarkan rujukan mazhab Hanafi itu sendiri iaitu Hashiyah Ibnu Abidin dan Bada'ei al-Sana'ei fi Tartib al-Syara'ei, Al-Kasani.
Oleh itu saya nasihatkan agamawan di Malaysia supaya:
- Sentiasa berhati-hati dalam menyampaikan pandangan masing-masing agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
- Jangan bertindak seolah-olah mengetahui semua hal dalam bidang keagamaan sedangkan ia bukan dalam kepakaran kita.
- Jauhi sikap mahu nampak jaguh kerana itu akan mengheret orang ramai khususnya anak muda untuk mempercayai perkara yang tidak benar.
- Kalau mahu buat kenyataan atau melontarkan pandangan perlu buat kajian terlebih dahulu.
- Beri penjelasan yang betul dan jangan mengelirukan orang ramai.
Sebagai tokoh agama yang dipandang tinggi oleh masyarakat, maka perlu berhati-hati dalam banyak perkara. Pertama, pentingnya menjaga adab apabila berbeza pandangan.
Menjaga adab dalam berbeza pendapat adalah keperibadian Islam yang tinggi. Kita kena memastikan perdebatan atau diskusi jangan sampai mengundang fitnah atau kebencian. Menjaga adab membolehkan kita bertukar pendapat secara konstruktif dan saling menghormati.
Keduanya, mengutamakan kemaslahatan ummah daripada kepentingan individu melalui penghayatan Siasah Syar’iyyah. Dalam menyampaikan pandangan atau pendapat, kepentingan ummah mesti menjadi keutamaan.
Masyarakat tidak seharusnya terpengaruh dengan pandangan yang lebih mementingkan kepentingan individu atau kelompok tertentu, kerana ini boleh menjejaskan keharmonian umat.
Ketiganya, membina dan memupuk masyarakat Islam yang bersatu dan saling menghormati: Tugas agamawan adalah untuk menyatukan umat, bukan membawa kepada kekeliruan dan menimbulkan perpecahan.
Ia boleh dicapai dengan memupuk etika, adab dan sikap hormat-menghormati dalam kalangan umat Islam, hasilnya masyarakat Islam dapat hidup dalam perpaduan, saling bantu-membantu, harmoni dan sejahtera serta mengelakkan konflik yang merugikan agama, bangsa dan negara.Keempat, penggunaan bahasa yang tidak beradab, beretika atau body language yang bercanggah dengan budaya Islam dan adat ketimuran dalam membincangkan hal-hal agama perlu dihentikan: Adab dalam berdiskusi agama mencerminkan keperibadian Islam.
Bahasa yang sopan dan tidak menyindir lebih mudah diterima oleh masyarakat. Apabila diskusi agama diwarnai dengan bahasa kasar atau menyinggung dan menghina, ini hanya membangkitkan kebencian dan boleh melemahkan kedudukan agama Islam di mata masyarakat.
ELAKKAN PERPECAHAN
Kelima, seimbangkan antara keterbukaan dan pembatasan dalam isu akidah: Walaupun keterbukaan dalam dakwah itu penting, perlu ada garis batasan untuk isu akidah.
Ini mengelakkan salah tafsir yang boleh mencetuskan perpecahan. Akidah adalah tunjang agama, rosaknya tunjang seperti pokok yang rosak tunjang dan akarnya yang dimakan oleh anai-anai yang akhirnya tumbang menyembah bumi. Sebagaimana peribahasa Melayu, kerana seekor kerbau yang bersalut lumpur, semuanya terpalit. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Penyelewengan dalam hal ini boleh membawa kepada perpecahan umat. Oleh itu, keterbukaan perlu diseimbangkan dengan kawalan terhadap prinsip-prinsip asas yang menyatukan umat.
Keenam, penyelesaian perselisihan melalui dialog akademik dan bukan provokasi awam di media massa: Dalam isu-isu agama yang sensitif, perbincangan ilmiah secara tertutup antara pakar dan ulama lebih berkesan berbanding kenyataan umum yang boleh memprovokasi masyarakat.
Dialog akademik mengelakkan kekeliruan awam serta membolehkan perbincangan yang mendalam dan menghormati antara pandangan yang berbeza.
Ketujuh, menasihati pemimpin secara hikmah: Islam menggalakkan nasihat yang berhikmah kepada pemimpin, bukan dalam bentuk teguran terbuka yang mungkin mengaibkan.
Nasihat secara tertutup dan penuh adab lebih berkesan kerana ia mengekalkan keharmonian dan memastikan pemimpin boleh menerima pandangan.
Kelapan, menghormati keputusan Majlis Fatwa Negeri-Negeri dalam isu-isu hukum: Majlis Fatwa Negeri adalah institusi berautoriti yang dilantik untuk menentukan hukum berdasarkan kepentingan masyarakat setempat.
Menghormati keputusan majlis fatwa ini mengukuhkan keharmonian dan kepercayaan masyarakat terhadap hukum Islam. Pertikaian keputusan majlis ini boleh menyebabkan kekeliruan dan menghakis autoriti institusi agama.
Kesembilan, mengelakkan tafsiran sendiri yang boleh mengelirukan masyarakat awam: Tafsiran yang dibuat tanpa merujuk kepada kitab dan ulama muktabar boleh mengundang kekeliruan.
Masyarakat awam yang kurang memahami konteks sebenar mungkin terpengaruh dengan tafsiran yang tidak tepat, yang boleh membawa kepada kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat.
Seterusnya, menghormati ulama terdahulu sebagai sumber ilmu dan inspirasi: Ulama terdahulu adalah khazanah ilmu yang berharga.
Menghormati pandangan mereka dan mengambil inspirasi daripada karya mereka memastikan kita adalah pewaris yang mewarisi ilmu yang sahih dan tidak mengabaikan warisan intelektual Islam yang kaya.
Akhir sekali, menjaga keharmonian antara institusi agama dan kerajaan: Kerjasama antara institusi agama dan kerajaan adalah kunci untuk mengekalkan kestabilan agama dalam negara.
Dengan menjaga hubungan ini, masyarakat dapat melihat Islam diterapkan secara harmoni dalam dasar kerajaan, bagi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.
Kesimpulan, antaranya perlu kita mengelakkan diri menjadi punca pencetus lahirnya golongan ekstrem, radikal, pelampau seperti Jemaah Islamiah (1993), Kumpulan al-Ma’unah (2000), anti kestabilan, tidak menerima pandangan jumhur yang boleh meresahkan jiwa masyarakat dan lain-lain lagi.
Kita ini hanya pewaris dan penerus ulama terdahulu yang mencetuskan kesatuan dan kestabilan, jangan pula kita menjadi orang yang membina perpecahan dan kekeliruan.
Sewaktu belajar dulu, semuanya guna manhaj dan kitab yang sama. Kefahaman yang sama, tapi mengapa bila telah bekerja dan diberikan amanah dan tanggungjawab dalam memastikan agama Islam berada di kedudukan tertinggi, lain pula kefahaman dan tindak-tanduk kita.
Buat akhirnya kita bukannya orang yang terbaik dan paling hebat, tetapi ada ramai lagi orang yang lebih baik dan hebat dari kita. Ikutlah pepatah Melayu: Jadilah seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.
* Datuk Mohamad Din Yusoh merupakan seorang tokoh agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!