Lelaki 40-an paling menggeletis di TikTok
RIMAS! Itu perkataan pertama sahabat Merak Jalanan luahkan ketika kami bertemu baru-baru ini. Syakira sahabat Merak Jalanan ini bertugas sebagai seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta.
Sebaik melihat Merak Jalanan terus dia menarik lengan dan duduk di meja makan dan terus melepaskan geramnya terhadap pengikut-pengikut lelaki di platform media sosial TikToknya.
“Kita ni masuk ke TikTok sebenarnya untuk apa? Nak cari calon isteri ke, calon skandal ke atau apa sebenarnya?” soal Syakira kepada Merak Jalanan. Mata Merak Jalanan masih memandang wajah Syakira kerana tidak faham hujung pangkal cerita.
Sambungnya lagi, “Saya buat content di TikTok untuk urusan kerja, sebagai perkongsian tempat-tempat menarik yang dikunjungi dan untuk beli-belah barangan yang menarik tetapi golongan lelaki 40an yang masuk ke ‘page’ saya asyik tanya saya ni janda ke? Sibuk nak berkenalan, sibuk minta nombor telefon!”
“Kamu pakai ‘filter’ tak masa buat content?” soal Merak Jalanan ringkas. Syakira mengangguk laju.
Patutlah orang lelaki teruja melihat Syakira. Cubalah kita ini yang sedang muka berminyak pakai filter di TikTok, terus wajah bertukar persis ratu dunia. Bayangkanlah pula kalau wanita secantik Syakira juga memakai filter, sudang tentu abang-abang di TikTok tak keruan dibuatnya.
Menurut Syakira, pengikut lelaki yang sering mengganggunya dengan soalan-soalan kurang manis kebanyakan berusia lebih 40 tahun dan ketika menyemak profil laman mereka semuanya sudah berkeluarga.
Selepas berbual-bual hampir sejam, Syakira minta izin untuk pulang. Sebelum berpisah, Merak Jalanan berpesan kepadanya, jika TikTok memberi kesan negatif lebih banyak daripada kebaikan, eloklah dia tutup sahaja akaunnya. Hati pun tenang, dosa pun kurang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!