Nyaris jatuh dalam 'lubang' besar atas jalan

Ir Razali (tiga dari kiri) mengadakan tinjauan bersama agensi terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Telekom Malaysia (TM) bagi menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam kadar segera di Jalan Industri Semambu Tiga di sini pada Selasa.
Ir Razali (tiga dari kiri) mengadakan tinjauan bersama agensi terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Telekom Malaysia (TM) bagi menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam kadar segera di Jalan Industri Semambu Tiga di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Jalan berlubang besar berkedalaman empat meter di Jalan Industri Semambu Tiga, menghala ke Jalan Haji Ahmad di sini, menarik perhatian warganet setelah video mengenainya tular di platform TikTok pada hari Isnin.

Video yang berdurasi satu minit 28 saat itu dikongsi pengguna @pubgnewinarea selepas mendakwa dirinya nyaris terjatuh di lubang besar di jalan berkenaan.

Dalam video tersebut, perakam memaklumkan lubang terbabit telah lama dibiarkan tanpa tindakan, kira-kira empat bulan lalu dan ia berisiko membahayakan pengguna jalan raya.

Perakam mendesak kerajaan Pahang untuk segera menyelesaikan masalah ini demi keselamatan orang ramai, selain menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu memberi perhatian pada kondisi jalan tersebut dengan meninjau lokasi berkenaan.

Tangkap layar rakaman video yang tular di platform TikTok pada Isnin.
Tangkap layar rakaman video yang tular di platform TikTok pada Isnin.

“Jangan tunggu sampai berlaku kejadian seperti di Kuala Lumpur, seorang warga asing jatuh dalam lubang baru hendak ambil tindakan.

"Kalau boleh, kerajaan negeri dan wakil rakyat tolong segera tinjau keadaan ini,” tegasnya.

Klip video tersebut kini mendapat perhatian dan respons daripada banyak warganet juga menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum berlaku insiden yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, tinjauan telah dilakukan bersama agensi terlibat termasuk

Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Telekom Malaysia (TM) bagi menyelesaikan masalah jalan berlubang ini.

Beliau menjelaskan, lubang besar berlaku berpunca dari penyusupan pengaliran air melalui sesalur kabel telekomunikasi bawah tanah yang akhirnya menyebabkan berlaku mendapan tanah.

Ir Razali (empat dari kiri) meninjau keadaan jalan yang berlubang besar itu selepas ia tular pada Selasa
Ir Razali (empat dari kiri) meninjau keadaan jalan yang berlubang besar itu selepas ia tular pada Selasa

"Hasil perbincangan, saya telah mengarahkan semua agensi terlibat mengambil tindakan dan Insya-ALLAH (kerja-kerja pembaikan) dilakukan hari ini.

"Pihak berkaitan akan membuat penutupan sementara lubang manakala TM pula melakukan kerja-kerja pengalihan (penukaran) kabel baharu dalam tempoh seminggu atau dua minggu," katanya ketika ditemui di Jalan Industri Semambu Tiga di sini pada Selasa.

Ir Razali berkata, isu ini telah berlanjutan hampir empat bulan kerana pihak TM memerlukan kelulusan peruntukan daripada pihak atasan.

Menurutnya, selepas kelulusan diterima, TM mula melantik kontraktor panel untuk memulakan kerja-kerja pembaikan segera.

"Jadi, kerja penukaran kabel itu sepanjang 180 meter yang berada pada kedalaman tiga hingga empat meter akan dilakukan dan ia melibatkan kos RM250,000," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak JKR dan TM untuk meningkatkan langkah keselamatan seperti memasang penghadang dan papan tanda amaran dari jauh.

Ir Razali menambah, pengguna juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut.

"Setakat ini, kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa,walaupun terdapat insiden seorang pengguna jalan yang nyaris terjatuh ke dalam lubang tersebut.

"Kita berharap kerja pembaikan ini dapat diselesaikan secepat mungkin untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!