Remaja perempuan rentung dalam kebakaran rumah
MIRI - Seorang remaja perempuan warganegara China ditemukan rentung dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah berkembar satu tingkat di Jalan Grand Park, di sini awal pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Yuan Ruohan, 13, ditemukan dalam rumah berkembar itu yang terbakar kira-kira 70 peratus.
"Panggilan tentang kejadian diterima pada jam 3.06 pagi dan 12 anggota dalam dua jentera masing-masingnya daripada BBP (Balai Bomba dan Penyelamat) Lopeng dan BBP Miri tiba di lokasi kira-kira jam 3.16 pagi,” katanya.
Pasukan Bomba berkenaan berjaya mengawal kebakaran kira-kira dua jam kemudian dan unit bersebelahan rumah berkembar terlibat hanya mengalami kebakaran di bahagian siling.
Mayat Yuan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!