Hasrat jurutera bercuti ke Jepun lebur
KEMAMAN - Hasrat seorang jurutera untuk bercuti ke Tokyo, Jepun bersama keluarga tidak kesampaian apabila dia diperdaya seorang wanita yang menyamar ejen sebuah syarikat pelancongan.
Bukan itu sahaja, lelaki berusia 41 tahun dari Kerteh di sini juga menanggung kerugian berjumlah RM18,950 selepas membuat pembayaran ke akaun diberikan wanita tersebut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, kejadian bermula selepas mangsa bersetuju dengan sebut harga pakej percutian untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak yang dihantar melalui e-mel peribadinya pada 13 Mac tahun lalu.
"Setelah bersetuju dan berpuas hati dengan pakej ditawarkan itu yang berjumlah keseluruhan RM19,950, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM15,000 pada keesokan harinya (14 Mac) ke akaun diberikan suspek.
"Mangsa menjelaskan jumlah baki yang tinggal iaitu sebanyak RM4,950 dan dimasukkan ke dalam akaun sama pada 20 Mac," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurut Hamdan, meskipun menjelaskan semua kos dikenakan, tetapi pihak syarikat berkenaan langsung tidak mengeluarkan sebarang resit rasmi sebagai bukti pembayaran dan hanya memaklumkan pengesahan penerimaan bayaran melalui aplikasi WhatsApp sahaja pada 20 Mac tahun lalu.
"Dalam masa sama, suspek berjanji akan memberikan butiran lengkap termasuk tarikh perjalanan, tiket penerbangan dan tempat penginapan pada keesokan harinya.
"Walau bagaimanapun, suspek gagal memberikan butiran yang dijanjikan meskipun diminta berulang lagi oleh mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan memberi pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri," katanya.
Katanya lagi, mangsa hanya menerima tarikh percutiannya iaitu dijangka bertolak ke Tokyo pada 18 hingga 26 Disember lalu pada 8 Julai tanpa disertakan tiket penerbangan, butiran tempahan hotel dan lain-lain dokumen berkaitan percutian seperti dijanjikan.
"Kemudian pada 17 Ogos, suspek ada memberi nombor telefon milik seorang wanita kononnya yang akan menjadi pemandu pelancong mereka nanti di sana dan segala butiran yang dikehendaki dikatakan ada dengan wanita terbabit.
"Namun, sehingga 31 Ogos, mangsa masih tidak menerima butiran yang dikehendaki sehinggalah pada 3 September, dia memutuskan untuk membatalkan semua tempahan percutian tersebut kerana tidak berpuas hati dengan layanan diberikan," katanya.
Jelasnya lagi, mangsa meminta suspek memulangkan semula duit berjumlah RM19,950 miliknya sebelum wanita itu menyatakan persetujuan dengan permintaan lelaki tersebut pada 4 September.
"Tetapi, keesokan harinya (5 September), suspek menghubungi mangsa memaklumkan yang butiran dikehendaki akan diserahkan sebelum mangsa menyatakan persetujuan untuk meneruskan pakej itu dengan syarat butiran dikehendaki perlu diserahkan selewat-lewatnya pada 6 September.
"Pada hari dijanjikan, mangsa menerima semua butiran yang diminta menerusi e-mel peribadinya, tetapi mendapati tarikh tiket penerbangan diberi tidak sama seperti dijanjikan dan dia memaklumkan kepada suspek sebelum berjanji akan mengemaskini semula," katanya.
Hamdan berkata, bagaimanapun suspek terus mendiamkan diri dan tidak menyerahkan butiran baharu seperti dijanjikan sejak 10 September lagi sehinggalah pada 21 September, mangsa sekali lagi menghantar WhatsApp untuk membatalkan pakej selain meminta duit dipulangkan semula.
"Suspek berjanji akan memulangkan semula wang mangsa, tetapi hanya RM1,000 sahaja dikembalikan dan berjanji akan menjelaskan baki dalam tempoh terdekat.
"Tetapi, sehingga Khamis lalu, suspek sudah gagal dihubungi sebelum mangsa menyedari dirinya sudah ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!