TI-M rayu kes rasuah, pengubahan wang haram dikecualikan RUU Tahanan Rumah
SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) merayu kepada kerajaan supaya kes rasuah dan pengubahan wang haram serta kesalahan khusus lain hendaklah dikecualikan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah.
Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, ia tidak kira sama ada banduan itu seorang warga emas, bekas kakitangan kerajaan atau mana-mana status lain.
Menurutnya, apabila rang undang-undang digubal, penekanan bagi mengelakkan penjenayah yang mendapat hukuman penjara ditukar kepada tahanan rumah hendaklah diberi perhatian yang khusus.
"Sekiranya penekanan gagal dilaksanakan, pihak kerajaan akan dilihat seperti mempersendakan usaha pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang selama ini telah bertungkus lumus memastikan penjenayah yang disabitkan kes sedemikian diberi hukuman yang sewajarnya.
"Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk menepati janji dan telus melaksanakan mekanisme yang boleh menghalang kemungkinan berlakunya penyalahgunaan undang-undang tahanan rumah seterusnya memanfaatkan VIP dan banduan terlibat dalam jenayah berat serta kesalahan kepentingan awam untuk tujuan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Muhammad, potensi pengampunan dan layanan VIP untuk kes salah guna kuasa, rasuah berskala besar dan pengubahan wang haram pasti akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai dan masyarakat tempatan.
Jelasnya, ia juga akan menjejaskan cita-cita kerajaan untuk mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
"Kami memuji usaha Kerajaan Perpaduan untuk memodenkan sistem keadilan keseksaan dan jenayah Malaysia dengan pengenalan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah 2025.
"Isu kesesakan di penjara menjadi cabaran utama di negara-negara yang membangun dan maju di seluruh dunia. Kebanyakan negara telah mempertimbangkan hukuman bukan tahanan atau tahanan rumah, terutama untuk kesalahan kecil serta banduan yang mempunyai sakit kritikal atau dalam keadaan hamil," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, penggubalan bagi rang undang-undang tersebut tidak kena masa dan perkara ini membimbangkan rakyat Malaysia.
"Bekas Perdana Menteri telah diberikan pengampunan bagi kes rasuahnya pada tahun lepas, dan sehingga hari ini masih tiada kata putus atau penutupan daripada kerajaan dan Lembaga Pengampunan atas keputusan itu.
"Hal ini menimbulkan persepsi sama ada penggubalan undang-undang baharu ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada individu tertentu sahaja," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!