'Terima kasih Malaysia' - Presiden Filipina
SHAH ALAM - Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan bantuan kemanusiaan selepas Ribut Tropika Kristine melanda negara itu.
Beliau berkata, sokongan melalui bantuan udara disalurkan negara ini membolehkan pasukan penyelamat memasuki kawasan yang masih bergelut dengan banjir.
“Saya berbicara dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada beliau dan rakyat Malaysia atas pertolongan yang sangat berharga selepas taufan ini.
“Sokongan udara membolehkan kami sampai ke kawasan yang masih bergelut dengan banjir dan membawa kelegaan kepada keluarga yang tidak dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Sejak bulan lalu, Malaysia menghantar bantuan termasuk sebuah helikopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan digerakkan untuk menghantar barangan keperluan pada hari pertama Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke kawasan terjejas di Filipina.
Selain itu, Anwar berkata, Malaysia memberi jaminan tidak akan mengabaikan negara jiran yang dilanda bencana selain turut memberikan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan yang dihadapi mangsa.
Menurutnya, tragedi yang berlaku pada Oktober lalu memberi peringatan bahawa pentingnya perpaduan dan kerjasama serantau yang erat.
Dalam pada itu, tambah Ferdinand Marcos, bantuan tersebut menggembirakan pihaknya untuk melihat negara ASEAN bertindak balas dengan sokongan yang diperlukan.
Ujarnya, perpaduan atau solidariti berkenaan akan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!