Dron canggih pantau sempadan negara - Polis Kelantan
KOTA BHARU - Polis Kelantan akan menggunakan kemudahan dron yang lebih canggih dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) untuk memantau sempadan negara Malaysia-Thailand termasuk di laut dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dron tersebut mampu terbang sejauh 50 kilometer serta dilengkapi teknologi canggih termasuk penglihatan malam sekali gus memudahkan pemantauan dilakukan.
"PGU akan menerima dron lebih canggih, jadi kita akan meminta bantuan dari sana untuk bantu pantau sempadan negara.
"Ia bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan sebagainya. Kita akan buat surat untuk bantu Kelantan selesai masalah ini," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, bantuan terbabit dijangka diterima dalam masa terdekat iaitu dalam tahun ini.
Ujarnya, sebelum ini polis Kelantan telah menggunakan dron untuk memantau sempadan tetapi kali ini ia lebih canggih.
Mohd Yusoff memberitahu, bukan sekadar penyeludupan ia juga boleh digunakan untuk memantau Monsun Timur Laut (MTL) dan sebagainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!