[VIDEO] Kriteria T15 masih dalam pertimbangan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih mempertimbangkan kriteria golongan T15 untuk menentukan kelayakan kumpulan tersebut mendapat subsidi petrol RON95 atau sebaliknya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pandangan secara menyeluruh daripada semua pihak akan diambil kira dalam pelaksanaan penstrukturan subsidi berkenaan.

“Penentuan pendapatan isi rumah yang layak untuk RON95 bersubsidi tidak akan ditentukan semata-mata berdasarkan tahap Pendapatan Isi Rumah (HIS), tinjauan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Kerajaan masih meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi petrol RON95 dan tidak akan terikat dengan definisi HIS.

“Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum ia dimuktamadkan mengambil kira kriteria tambahan, selain daripada HIS,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Amir Hamzah
Amir Hamzah

Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana golongan T15 ditentukan khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan 2025.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pelbagai aspek akan diambil kira sebelum kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijadual bermula pertengahan tahun depan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam masa sama turut menegaskan kerajaan komited untuk terus membela nasib majoriti rakyat termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menegaskan, warga asing dan golongan T15 perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi.

Menurutnya, penyasaran subsidi tidak akan membebankan 85 peratus rakyat, justeru ahli-ahli Parlimen diingatkan agar tidak menjadi jaguh kepada golongan maha kaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!