PRN Sabah: BN ada sokongan di kerusi luar, separuh bandar- Suhaimi
SANDAKAN - Barisan Nasional (BN) Sabah masih mempunyai sokongan bagi kerusi di kawasan luar bandar dan separuh bandar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) akan datang, kata Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.
Ia sekali gus menyangkal dakwaan penganalisis politik yang melihat kehadiran gabungan politik itu sudah tidak relevan di Sabah dan tidak mungkin menang bertanding solo pada PRN17 kali ini.
Suhaimi berkata, BN masih relevan dan mendapat sokongan ramai rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri ini.
Walaupun beliau tidak menolak kemungkinan peluang BN memenangi PRN17 di kawasan bandar agak sukar namun parti itu masih mempunyai sokongan bagi kerusi lain di kawasan luar bandar dan separuh bandar.
"Apa yang dikatakan oleh penganalisis itu hanya pandangan peribadi beliau, yang hanya di atas kertas dan analisis tersebut juga lebih memihak kepada satu satu pihak demi beberapa kepentingan.
"Ia jauh berbeza dengan keyakinan kami (BN dan UMNO) yang sentiasa berada di lapangan yang mana BN masih mendapat sokongan oleh rakyat khususnya di kawasan luar bandar
"Hanya BN dan UMNO saja yang dapat membantu ketika rakyat dalam keadaan memerlukan berbanding parti lain. Kekuatan BN dan UMNO untuk kawasan seperti di bandar mungkin agak sukar, tapi bagi kawasan luar bandar dan separuh bandar, BN masih ada penyokongnya sendiri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kenyataan itu sebagai maklum balas beliau terhadap pandangan seorang penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berpendapat bahawa jenama BN sudah ketinggalan zaman dan memerlukan transformasi dengan kerjasama parti lain pada pilihan raya nanti.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Libaran itu lagi, walaupun UMNO Sabah berhadapan dengan tsunami politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun hakikatnya sehingga hari ini 25 bahagian UMNO di Sabah masih wujud.
"Tindakan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ternyata tidak dapat menafikan kewujudan serta kekuatan BN dan UMNO di Sabah yang kini mempunyai sekitar 600,000 keahlian seluruh Sabah.
"Ini membuktikan UMNO dan BN masih diterima oleh rakyat Sabah," katanya.
Sehubungan itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, beliau yakin rakyat Sabah akan kembali menyokong BN pada PRN17 berdasarkan penilaian pencapaian tiga era pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
"Rakyat sudah melihat tiga era kerajaan iaitu BN, Parti Warisan (Warisan) dan GRS. Mereka sedar apa yang berlaku dan melihat kekurangan untuk kelangsungan pembangunan infrastruktur ekonomi rakyat Sabah," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Suhaimi berkata, BN Sabah tidak akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika memilih untuk bergerak solo.
Katanya, BN hanya meletakkan calon di kerusi tumpuan tetapi dengan jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!