Pekebun bebas tuduhan bunuh ibu saudara

Gobinathan (tengah) bertemu peguamnya selepas mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh ibu saudaranya, empat tahun lalu.
Gobinathan (tengah) bertemu peguamnya selepas mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh ibu saudaranya, empat tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melepaskan dan membebaskan seorang lelaki daripada pertuduhan membunuh ibu saudaranya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail membebaskan pekebun, G Gobinathan, 48, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa membunuh A Nirmala berusia 51 tahun di sebuah rumah di Ayer Hitam, Jempol antara 3 hingga 4 Mac 2021, kira-kira jam 7.30 malam hingga 3.30 pagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Gobinathan (tengah) kelihatan sebak sebaik keluar dari kamar mahkamah.
Gobinathan (tengah) kelihatan sebak sebaik keluar dari kamar mahkamah.

Seramai 13 saksi dipanggil memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan bermula pada November tahun lepas.

Gobinathan diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Hazwani Omar.

Sementara itu, Gobinathan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu keputusan tersebut diibaratkan sebagai hadiah sempena Hari Deepavali buat ibunya di kampung.

"Saya tidak sabar hendak balik rumah di Bandar Seri Jempol jumpa mak maklumkan saya bebas. Dalam fikiran saya ini hanya fikirkan mak sahaja dan tiada apa yang dapat saya ungkapkan selain bersyukur," katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, Nirmala membantu Gobinathan dalam kerja-kerja kebun dan mereka tinggal bersama di rumah berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!