Pemandu lori ditahan bawa 13 lembu seludup dari Thailand
PASIR MAS - Seorang pemandu lori dicekup Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan selepas dipercayai membawa lembu yang diseludup dari Thailand di jalan tali air Kampung Macang Gacoh Meranti di sini pada Isnin.
Tangkapan dan rampasan dilakukan anggota pada jam 2 pagi apabila menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugasan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati 13 ekor lembu anggaran berat lebih 11,700 kilogram dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam lori tersebut tanpa dokumen yang sah.
"Suspek seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup lembu tersebut ke pasaran tempatan," katanya pada Selasa.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM175,500 dan kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Ujarnya, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!