Kampung halaman Kamala Harris di India berdoa kemenangannya dalam pilihan raya
THULASENDRAPURAM - Penduduk di kampung halaman nenek moyang calon Presiden Demokrat Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris di selatan India sedang bersiap untuk menganjurkan bacaan doa khas pada hari Pilihan Raya Presiden pada Selasa di sebuah kuil Hindu yang jaraknya lebih 13,000 kilometer (km) dari Washington.
Datuk sebelah ibu Harris, PV Gopalan dilahirkan lebih seabad yang lalu di perkampungan Thulasendrapuram di negeri Tamil Nadu di selatan India.
"Akan ada doa khas pada pagi Selasa di kuil. Perayaan juga akan menyusul jika dia menang," kata G Manikandan, seorang penduduk kampung yang mengusahakan kedai kecil berhampiran kuil itu.
Di kuil tersebut, nama Harris diukir pada batu yang menyenaraikan sumbangan orang ramai, bersama nama datuknya.
Di luar premis itu pula digantung sepanduk besar yang mendoakan kejayaan "anak tempatan" dalam pilihan raya berkenaan.
Gopalan dan keluarganya berhijrah beberapa ratus kilometer ke bandar pesisir pantai Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, tempat beliau bekerja sebagai pegawai tinggi kerajaan sehingga bersara.
Kampung tersebut mendapat perhatian global empat tahun lalu apabila penduduknya mendoakan kemenangan untuk Parti Demokrat Harris pada 2020 sebelum meraikan pelantikannya sebagai Naib Presiden AS dengan membakar mercun dan mengagihkan makanan.
Harris dan pesaingnya dari Parti Republikan, Donald Trump sedang berusaha untuk menarik penyokong ke pusat pengundian dalam pertandingan pilihan raya yang sengit, yang mungkin mengambil masa beberapa hari untuk menentukan pemenangnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!