MRC 2024: Tingkat keselamatan, kelestarian jalan raya

Alexander (dua dari kiri) merasmikan MRC 2024 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara pada Selasa. Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Alexander (dua dari kiri) merasmikan MRC 2024 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara pada Selasa. Foto Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengharapkan inovasi berterusan dan penggunaan teknologi dalam pelaksanaan kerja atau projek bagi penyampaian efektif dan memenuhi hasrat yang lebih besar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam industri jalan raya, inovasi bukan sahaja perlu untuk menghasilkan jalan lebih baik tetapi untuk menambah baik aspek keselamatan dan kelestarian.

Alexander Nanta Linggi Foto Mohd Hakim Abdul Wahid
Alexander Nanta Linggi Foto Mohd Hakim Abdul Wahid

Jelasnya, aspirasi Program MYJalan dilancarkan pada 24 Ogos tahun lalu membawa tujuan untuk meningkatkan kualiti, keselamatan dan keselesaan pengguna dengan menanamkan semangat "Jalan Kita, Tanggungjawab Kita."

Menurutnya, program itu mendidik pengguna tentang sistem jalan raya Malaysia dan meningkatkan pemantauan penyenggaraan, terutama untuk jalan rosak dan berlubang.

"Menurut data daripada Polis Diraja Malaysia, terdapat lebih 6,000 kematian, lebih 4,000 kecederaan parah dan 29,000 kecederaan ringan di jalan raya pada 2022.

"Pelan Keselamatan Jalanraya Malaysia: Pelan 3 tahun 2022-2030 menyasarkan pengurangan 50 peratus kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030.

"Ini bagi mencapai visi negara sifar kematian akibat nahas jalan raya serta membudayakan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan negara," katanya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Alexander (duduk, tengah) bersama tetamu jemputan dan peserta persidangan di Pusat Dagangan Dunia pada Selasa. Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Alexander (duduk, tengah) bersama tetamu jemputan dan peserta persidangan di Pusat Dagangan Dunia pada Selasa. Foto Mohd Halim Abdul Wahid



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke 12 (MRC 2024) dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia Ke 5 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara.

Program dianjurkan Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan CIDB Malaysia.

Acara dwi-tahunan bermula 5 hingga 7 November ini merupakan platform utama bagi menjalin rangkaian dan perkongsian penyelidikan, idea serta inovasi teknologi terkini dalam pembangunan, reka bentuk, pembinaan, pengurusan, juga penyelenggaraan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya.

Bertemakan "Driving Innovation for Better Roads", MRC 2024 menekankan kepentingan inovasi dalam mempertingkatkan kualiti, keselamatan dan kelestarian jalan raya di samping mengenal pasti kaedah mengurangkan kos dalam pembinaan infrastruktur jalan raya di Malaysia.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya itu menambah, tiga aspek kejuruteraan jalan raya yang perlu diutamakan adalah penunggangan motosikal selamat, pengurusan kelajuan di kawasan berisiko tinggi dan penyediaan infrastruktur yang lebih selamat.

"Namun, tindakan penambahbaikan berdasarkan data dan pelan keselamatan adalah yang paling utama.

"Oleh itu, saya berharap platform persidangan ini dapat menjadi ruang untuk membincangkan, membahaskan, dan berkongsi penyelesaian bagi isu-isu yang telah dinyatakan," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!