'Saya terima takdir, semua terjadi atas kehendak ALLAH' - Anak mangsa rempuhan
KUANTAN - Anak kepada mangsa maut dalam tragedi rempuhan lori di sebuah warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, menerima ketentuan yang menimpa ayahnya, Affendi Abd Wahab,51, dengan penuh reda.
Shaifuan Hazani Affendi, 31, berkata, meskipun insiden itu berlaku secara tiba-tiba, namun siapalah mereka untuk menidakkan takdir yang sudah tertulis.
”Apa yang terjadi kehendak ALLAH dan kami sekeluarga terima, kalau itu yang terbaik.
"Saya gembira sebab ALLAH lebih sayangkan (arwah) ayah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada malam Isnin.
Bercerita lanjut, Shaifuan Hazani memberitahu, kali terakhir bertemu dengan ayahnya adalah pada jam 2.30 petang, Isnin, di bengkel milik arwah yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.
Jelasnya, tiada sebarang perwatakan pelik ditunjukkan arwah, dua jam sebelum insiden terbabit berlaku.
"Saya nampak arwah ayah normal sahaja, cuma saya pula yang kerap toleh (mencari kelibat) arwah ayah.
"Malah, saya membiarkan ayah berjumpa dengan kawan-kawan untuk berbincang di warung sebelum kejadian," luahnya yang masih sedih dengan kejadian menimpa mereka sekeluarga.
Shaifuan Hazani menambah, arwah ayahnya sering melakukan kerja-kerja amal termasuk menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam SC di Batu 3, Kuantan, sejak beberapa tahun lalu.
“Arwah ayah memang suka buat kerja kebajikan, arwah menggali kubur secara percuma semasa hayatnya.
"Alhamdulillah, ayah yang sentiasa membantu orang kerana bagi arwah, kalau (ada) orang (yang) susah, dia pun turut terasa susah,” katanya.
Jenazah Affendi telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung SC di Batu Tiga pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja bengkel besi maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah lori merempuh warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan dua mangsa lain, iaitu pelanggan dan pemandu lori yang berusia 40 dan 25 tahun, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HTAA serta sebuah hospital swasta di Tanjung Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!