Polis rampas dadah RM2.28 juta, tahan 5 individu
MELAKA - Polis berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM2.28 juta selepas menahan lima individu termasuk dua wanita warga Indonesia pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan mendapati kesemua suspek ditahan di dua lokasi berasingan dalam serbuan jam 3 pagi di sebuah Kondominium di Melaka Raya dan sebuah bangunan di Jalan Merdeka.
Menurutnya, mereka yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu berusia 21 hingga 37 tahun termasuk tiga lelaki tempatan.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi terbabit pihaknya menemui pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi seberat 12,920 gram (g) dan ketamin 300g, selain pil ekstasi sebanyak 1,307 biji dan erimin 5 sebanyak 280 biji.
"Turut disita dua buah kenderaan serta wang tunai berjumlah RM6,400 yang dianggarkan keseluruhan rampasan bernilai RM2.34juta.
"Siasatan polis turut mendapati kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 68,240 penagih," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapat tiga daripada mereka positif dadah ketamin dan benzo malah siasatan lanjut mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kelima-lima mereka kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!