[VIDEO] Subsidi bersasar RON95 perlu dibuat, elak ketirisan - Amir Hamzah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dilakukan kerana berlaku ketirisan subsidi melibatkan penggunaan oleh golongan yang tidak sepatutnya berikutan perbezaan harga petrol yang besar, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol bagi segmen bukan warganegara, komersial dan aktiviti penyeludupan mencecah 40 peratus daripada kadar penggunaan keseluruhan petrol.

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

"Memandangkan tahap subsidi petrol RON95 sekitar RM20 billion setahun, jika ketirisan (subsidi petrol) terhadap warga asing, komersial dan golongan kaya dapat ditangani ia bakal menjana penjimatan sehingga RM8 billion setahun,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung mekanisme kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi petrol kepada bukan warganegara dan golongan T15, serta pada masa sama memastikan golongan B40 dapat menikmati subsidi bersasar petrol RON95 kelak.

Menjawab soalan asal Aminolhuda mengenai keberkesanan penyasaran subsidi diesel menerusi inisiatif MyBUDI, Amir Hamzah berkata berdasarkan data terkini terdapat penurunan mendadak terhadap penjualan diesel di stesen minyak, sekali gus mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan bahan api itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!