Malaysia belum sedia bina loji tenaga nuklear: Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan membina loji tenaga nuklear sehingga terdapat cara selamat untuk melupuskan sisa radioaktif yang dijana.

Beliau menegaskan Malaysia tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bidang itu.

"Jika anda ada loji tenaga nuklear, anda akan mengumpul sisa nuklear yang merupakan radioaktif dan sehingga kini mereka tidak tahu bagaimana untuk terbalikkan proses itu. Sebab itu kenapa kita tidak boleh guna bahan nuklear kerana ia akan kekal selama berjuta-juta tahun.

"Kita tidak mahu negara ini penuh dengan sisa seperti itu yang dibuang di serata tempat dan menjejaskan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan komuniti perniagaan Perancis di Malaysia, di sini, hari ini.

Dr Mahathir pada dialog itu ditanya berhubung visi Malaysia mengenai sumber tenaga boleh diperbaharui, selepas ikrar dibuat Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin bahawa Malaysia akan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kepada 20 peratus menjelang 2025.

Menegaskan perlunya sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak menyebabkan pencemaran, Dr Mahathir berkata, Malaysia sedang berusaha mengurangkan penggunaan sumber tenaga tradisional seperti minyak, gas dan arang batu untuk mengurangkan kadar pencemaran udara.

"Kita sedang berusaha untuk menjana lebih banyak kuasa menerusi panel solar. Juga terdapat kemungkinan untuk kita mengeksport tenaga bersih kepada jiran-jiran kita.

“Kita ada banyak ruang, malah kita boleh gunakan laut untuk memasang lebih banyak panel (solar), jadi trendnya adalah ke arah itu," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!