'Siasat bonus RM210,000 kepada CEO PHB' - Mas Ermieyati
SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyiasat isu tatakelola melibatkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya yang diberikan bayaran khas berjumlah RM210,000 ketika syarikat itu hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 42 peratus.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, syarikat tersebut turut merancang menaja percutian mewah ke luar negara kepada 200 orang pekerjanya.
"Memberikan percutian mewah kepada pekerja ini bagus dan patut menjadi contoh kepada majikan lain. Dalam keadaan ekonomi syarikat yang mencabar, mereka boleh mengadakan percutian mewah, tetapi sudah dibatalkan selepas (isu) meletus di media sosial.
"Malah, CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat juga dikatakan menderma RM50,000 kepada sebuah sekolah yang mana dia adalah alumninya, ini jelas ada isu kepentingan. Saya harap perkara ini dapat dijawab," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, minit mesyuarat PHB yang tular di laman X meraih perhatian apabila eksekutif tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa diberi bonus besar.
Laporan itu menyatakan, ahli lembaga pengarah syarikat telah meluluskan pembayaran gaji pokok tiga bulan bersamaan RM210,000 kepada ketua pegawai eksekutifnya walaupun KPI hanya 42 peratus.
Difahamkan SPRM sudah mengambil maklum mengenai kebocoran minit mesyuarat yang dikatakan daripada mesyuarat lembaga pengarah PHB awal tahun ini.
Sementara itu Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut membidas kenyataan mengenai kerugian ditanggung Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam isu FashionValet adalah sedikit berbanding keuntungan dibuat dua syarikat itu.
Beliau berkata, ribuan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh dibantu dengan jumlah RM43.9 juta, iaitu nilai kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Menurtnya, jumlah itu lebih berbaloi jika dimanfaatkan kepada golongan usahawan PKS yang ternyata lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan.
"Di kala usahawan di Malaysia sedang bergelut untuk persiapan masing-masing dalam kepayahan mendapatkan bantuan dan sokongan kerajaan, tiba-tiba negara digemparkan dengan berita isu kerugian RM43.9 juta.
"Betapa lebih RM40 juta itu boleh dimanfaatkan ramai atau ribuan usahawan PKS yang jauh lebih bertanggungjawab," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!