Pengerusi masjid direman disyaki kemuka tuntutan palsu bantuan asnaf

Suspek (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk direman
Suspek (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk direman
A
A
A

KEMAMAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang pengerusi masjid di sini kerana disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu pada Selasa.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 2.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman, Terengganu.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu. Seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.

"Suspek telah menerima dana zakat berkenaan daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini yang mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ.

“Suspek telah ditangkap bersama isterinya yang turut tersenarai antara penerima wang zakat tersebut. Bagaimanapun isterinya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!