Pengerusi masjid direman SPRM beri nama sendiri, isteri sebagai penerima zakat
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang pengerusi masjid di sini kerana disyaki mengemukakan senarai asnaf berstatus miskin termasuk nama isteri sendiri untuk agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu pada Selasa.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 2.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman, Terengganu.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu. Seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.
"Suspek telah menerima dana zakat berkenaan daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini yang mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ.
“Suspek telah ditangkap bersama isterinya yang turut tersenarai antara penerima wang zakat tersebut. Bagaimanapun isterinya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!