Pemandu lori tidak mengaku memandu bawah pengaruh dadah
SEREMBAN - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan minggu lalu.
Tertuduh, Ezzani Amar Fawzie Omar, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori telah didapati memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis methamphetamine sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 1 November, jam lebih kurang 2 petang di Simpang Masjid Kampung Bukit Kadir, Nilai.
Sehubungan itu, dia telah lakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah seterusnya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 23 Januari 2025.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methaphetamine ke dalam dirinya bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai kira-kira jam 6.30 petang pada 1 November lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali yang seterusnya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 dikenakan kepada tertuduh dan tarikh sebutan semula kes pada 7 Januari tahun depan untuk laporan urin.
Pertuduhan di kedua-dua Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah Nor Azmi dan Nadia Ezzati Mohd Zainal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!