Ringgit masih kukuh, naik 5.03 peratus berbanding dolar AS
KUALA LUMPUR - Nilai ringgit masih kukuh walaupun terdapat pelbagai perkembangan dan penyesuaian pasaran baru-baru ini apabila setakat 4 November 2024, mata wang tempatan mengukuh 5.03 peratus berbanding dolar AS.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam masa sama, ringgit telah mengukuh berbanding mata wang negara serantau iaitu sebanyak 13.3 peratus berbanding yen, 12.2 peratus berbanding won, 7.5 peratus berbanding rupiah dan 3.7 peratus berbanding baht.
"Dari segi perkembangan global, perubahan jangkaan kadar dasar monetari yang lebih rendah dalam ekonomi utama global, khususnya di Amerika Syarikat (AS) telah menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
"Faktor global seperti pergolakan geopolitik di Timur Tengah dan pilihan raya AS turut menyumbang kepada turun naik pasaran kewangan global termasuk ringgit dan mata wang negara yang pesat membangu pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkenaan prestasi ringgit tahun ini berbanding dolar AS dan mata wang asing negara lain serta nilai yang berpatutan selaras dengan kenaikan pelaburan asing, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang menggalakkan dan kadar inflasi yang terkawal.
Amir Hamzah berkata, selain perkembangan luaran, ekonomi Malaysia juga sedang berkembang dengan baik apabila setakat suku ketiga 2024, ia berkembang secara purata sebanyak 5.1 peratus.
"Ini termasuk anggaran awalan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku ketiga 2024 sebanyak 5.3 peratus. Seterusnya, ekonomi negara dijangka mencatat perkembangan antara 4.8 hingga 5.3 peratus untuk keseluruhan 2024.
"Inflasi masih rendah dan terkawal pada 1.8 peratus pada September 2024. Jumlah pelaburan langsung asing yang telah diluluskan separuh tahun pertama tahun ini sebanyak RM160 bilion berbanding RM136 bilion pada 2023 dalam tempoh sama,” katanya.
Menurut Amir Hamzah, prospek positif ekonomi Malaysia ini termasuk komitmen kuat kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar di bawah kerangka Madani akan memberi sokongan yang berterusan kepada prestasi ringgit.
"Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan bahawa ringgit didagangkan dalam keadaan teratur. Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia sentiasa bersedia mengambil langkah dalam pasaran pertukaran asing (FX Intervention) untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!