Selisih faham dengan abang, 4 rakan culik adik 12 tahun
KLANG - Tindakan empat rakan menculik seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun hanya kerana perselisihan faham dengan abang mangsa bulan lalu, mengundang padah apabila Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, menjatuhi mereka hukuman penjara selama tiga tahun.
Mereka ialah pekerja kedai rokok elektronik, Muhamad Adha Abdullah, 20; penganggur, Muhammad Asran Ghazalie, 23, dan dua tukang urut masing-masing berusia 18 tahun, Alyaa Zahwa Salim serta Puteri Nurul Suhaila Abdullah.
Mereka dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Siti Zubaidah Mahat.
Mahkamah memerintahkan mereka dihukum bermula tarikh ditangkap, 12 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menculik kanak-kanak itu, daripada penjaga yang sah di Bandar Bukit Tinggi di sini pada jam 3 petang, 8 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh telah membawa mangsa menaiki kereta sewa jenis Perodua Myvi ke sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur namun dia ditinggalkan di lokasi itu sebelum dihantar pulang menggunakan khidmat e-hailing, empat hari kemudian.
Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili semua tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan bon berkelakuan baik kerana tiga daripada tertuduh merupakan pesalah muda.
“Punca kejadian ini bermula daripada insiden perselisihan faham antara tertuduh dan abang mangsa.
“Niat mereka, hanya mahu berjumpa dengan abang mangsa dan mengaku mengambil budak berkenaan, sementara menunggu lelaki itu tiba," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, NurulJannah Aimi membantah cadangan bon berkenaan, kerana kes tersebut telah mendapat perhatian umum dan tular di media sosial.
"Jenayah culik adalah jenayah serius lebih-lebih lagi, mangsa hanya berusia 12 tahun.
“Berdasarkan laporan perubatan, tindakan melarikan mangsa selama empat hari telah mengakibatkan kecederaan pada mangsa,” katanya.
Sebelum ini seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas turun mengambil mi segera di kereta yang diparkir di bawah rumahnya di Bandar Bukit Tinggi pada jam 2.30 petang, hari kejadian.
Pihak polis melaporkan, sepanjang tempoh itu, mangsa bukan sahaja dicabul oleh beberapa suspek malah dipercayai cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!