Johor negeri pertama tawar gaji premium RM4,000 hingga RM5,000 - TMJ
JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, negeri ini bakal menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Menerusi muat naik di Facebook HRH Prince Crown of Johor pada Selasa, ia akan dicapai menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada Ahad lalu.
Titah baginda lagi, lebih banyak peluang pekerjaan baharu akan dapat diwujudkan beberapa tahun akan datang susulan langkah proaktif kerajaan Johor mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Kerajaan Johor menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini. Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta.
"Kerajaan Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan JS-SEZ dengan ia bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira RM893 juta (AS$190) ke negeri ini.
"Projek-projek baharu ini dijangka akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun yang akan datang," titah baginda.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah, Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan turut akan dinaik taraf dalam masa terdekat.
"Kerja naik taraf akan dilakukan sebelum dua lokasi itu dibuka kepada umum sebagai usaha menambah nilai pelancongan di negeri ini.
"Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19," titah baginda.
Ahad lalu, ketika melancarkan JTDC di Persada Johor Bahru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Johor akan menjadi negeri pertama di negara ini menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Penubuhan JTDC itu amat penting dalam memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dibekalkan susulan penawaran sebanyak 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal wujud di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!