Pegawai SPRM didakwa salah guna wang sita lebih RM600,000

Seorang Penolong Pesuruhjaya SPRM didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Selasa, atas satu pertuduhan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000, bermula lima tahun lalu.
Seorang Penolong Pesuruhjaya SPRM didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Selasa, atas satu pertuduhan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000, bermula lima tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang penolong pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000 bermula lima tahun lalu.

Azizun Mohamad, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyalahgunakan wang berkaitan Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019.

Kesalahan didakwa dilakukan di Cyberjaya, antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd 'Afif Ali sementara tertuduh diwakili peguam, Mohd Nazri Yahya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM sekali setiap bulan, menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan dilarang menghubungi mana-mana saksi berkaitan kes.

Dia juga tidak boleh mengakses mana-mana komputer yang berkaitan dengan data di pejabat SPRM Kedah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Disember.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan SPRM Putrajaya, agensi itu mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti serta etika kerja membabitkan semua pegawainya.

Menurutnya, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang melanggar peraturan dan undang -undang bagi memastikan amanah serta tanggungjawab yang diberikan, terus terpelihara.

"Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

"SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!