Fernandes aset masa depan United

Fernandes kini menjadi taruhan baharu United.
Fernandes kini menjadi taruhan baharu United.
A
A
A

TONGGAK Manchester City, Bernardo Silva percaya bintang baharu Manchester United, Bruno Fernandes mampu menjadi pemimpin dalam menyelesaikan masalah barisan serangan The Red Devils.

Menurut Silva, Fernandes yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Portugal memiliki kreativiti dan karakter melawan tinggi apabila berdepan lawan yang mengamalkan corak permainan defensif.

"Fernandes memiliki mentaliti tinggi dan sering memberikan komitmen 100 peratus setiap kali berada di tengah padang. Dia benar-benar memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Dia tidak peduli siapa lawan yang akan dihadapi. Saya percaya mentaliti dan karakter yang dimilikinya akan banyak membantu Manchester United nanti," katanya.

Silva berkata, dia optimis Fernandes tidak berdepan masalah menyesuaikan diri di England kerana sebelum ini bekas pemain tengah Sporting Lisbon berusia 25 tahun itu pernah merantau di Itali.

"Sememangnya perubahan itu selalu rumit kerana anda perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan-rakan baharu, falsafah pengurus dan sistem yang benar-benar baharu. Mungkin juga Fernandes memerlukan beberapa bulan untuk membentuk keserasian.

"Namun, saya gembira dia dapat beraksi dengan kelab terkemuka dunia seperti Manchester United. Saya percaya dia akan cemerlang dan menjadi aset di Old Trafford," ujarnya.

Fernandes yang menyertai The Red Devils dengan perjanjian bernilai 80 juta euro (RM360 juta) memulakan debut bersama United ketika menentang Wolverhampton Wanderers pada 1 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!