Abdul Hadi desak kerajaan tidak tutup pintu untuk diberi nasihat

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak tidak menutup pintu untuk ditegur dan diberi nasihat bagi menjamin keadilan di negara ini dapat terus ditegakkan.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, untuk keadilan berlaku mestilah diberikan kebebasan untuk memberi nasihat kepada kerajaan.

“Kita (sekarang) ada (larangan menyentuh isu berkenaan) agama, raja dan kaum (3R) pula. 3R ini pemimpin tak boleh nak sentuh kalau salah, agama tak boleh sentuh.

"Banyak yang tak boleh sentuh sedangkan ALLAH SWT sebut dalam al-Quran hendaklah berpesan-pesan kepada yang benar dan berpesan dengan sabar.

“Manusia ada kelemahan-kelemahan dan yang boleh membetulkan manusia itu adalah nasihat-nasihat. Bila dibawa (larangan sentuh 3R) ini, ia akan jadi tertutup.

"Kerajaan boleh buat apa sahaja, kelemahan-kelemahannya tak boleh ditegur,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mengulas lanjut, Presiden Pas itu mendakwa, jika kerajaan ditegur pelbagai tindakan dikenakan ke atas ahli Parlimen pembangkang termasuk dihalau keluar ketika persidangan Dewan Rakyat, tidak dibenarkan untuk masuk ke Dewan Rakyat selain disiasat polis.

“Saya sendiri berpuluh kali polis datang siasat tapi bila polis siasat saya cakaplah saya akan jawab di mahkamah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Hadi menyindir kerajaan yang didakwa melakukan percaturan tertentu untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, sekiranya pembentukan kerajaan dimulakan dengan penipuan, ia akan berakhir dengan penipuan sehingga habis penggal.

“Kalau kita mula buka pintu dengan ‘kelentong’, sampai akhir jadi ‘kelentonglah’,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!