Baru empat hari operasi, lebih 11,000 saman motosikal dikeluarkan
IPOH - Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang tempoh operasi itu juga JPJ mengesan lima kesalahan paling tinggi iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL) sebanyak 2,922 orang diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh sebanyak 2,290 orang.
Menurutnya, selain itu kesalahan tiada insurans melibatkan 2,044 orang, kesalahan teknikal (1,043) dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (663).
"Selama empat hari operasi ini diadakan, JPJ telah menyita 135 motosikal di seluruh negara kerana gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.
"Pelaksanaan Ops Khas Motosikal ini diadakan susulan statistik membimbangkan peningkatan trend kadar kemalangan yang direkodkan melibatkan motosikal sebanyak 1,908 atau 70 peratus," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat JPJ Perak di sini pada Selasa.
Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Aedy Fadly berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 31,851 buah motosikal yang diperiksa dan sebanyak 4,533 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, operasi berkenaan akan diteruskan selama dua bulan sehingga Disember depan.
"Saya telah mengarahkan semua pengarah-pengarah (JPJ) negeri untuk mengadakan Ops ini secara berterusan untuk tempoh 2 bulan ini kerana kita melihat statistik yang agak membimbangkan melibatkan kemalangan motosikal yang berlaku pada tahun ini.
"Jadi kita ingin ingatkan kepada semua orang awam yang mempunyai motosikal dan menggunakan motosikal di jalan raya supaya mematuhi semua peraturan kerana JPJ akan mengambil tindakan tegas untuk tempoh 2 bulan ini terutama motosikal yang diubah suai secara ekstrem," katanya.
Beliau berkata, pihak JPJ akan terus membuat sitaan motosikal yang diubah suai secara ekstrem dan berkemungkinan dilucut hak jika pemilik tidak dapat memberi jaminan mengembalikan motosikal itu kepada keadaan asal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!