Peniaga sedih pelanggan setia berbelas tahun maut di warung

Maimum menunjukkan tempat duduk arwah Affendi dan rakannya berada sebelum sebuah lori terbabas dan melanggar mereka.
Maimum menunjukkan tempat duduk arwah Affendi dan rakannya berada sebelum sebuah lori terbabas dan melanggar mereka.
A
A
A

KUANTAN - "Saya baru sahaja hidangkan pesanan mereka di meja dan kembali ke dapur untuk merebus lada kering untuk membuat nasi lemak," demikian kata peniaga yang warungnya dirempuh sebuah lori sehingga menyebabkan seorang pelanggan maut dan dua individu lain cedera dalam insiden ngeri di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, pada petang Isnin.

Maimum Besar, 56, berkata, sewaktu kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.40 petang, empat pelanggan sedang menikmati minum petang di warungnya.

Maimum melihat keadaan warungnya yang musnah selepas dirempuh lori dalam kejadian pada petang Isnin.
Maimum melihat keadaan warungnya yang musnah selepas dirempuh lori dalam kejadian pada petang Isnin.

"Secara tiba-tiba saya mendengar bunyi hentakan kuat dan melihat warung musnah, barang jualan bertaburan, serta sebuah lori berada di tengah-tengah warung yang sedang bergerak laju," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Ibu kepada tujuh anak itu memberitahu, kejadian itu berlaku begitu pantas, namun dia bersyukur kerana dirinya terselamat.

Maimum bagaimanapun sedih kerana salah seorang pelanggan tetapnya iaitu Affendi Abd Wahab, 51, dirempuh lori terbabit dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Maimum menunjukkan lokasi arwah terbaring dan berlumuran darah selepas kejadian itu.
Maimum menunjukkan lokasi arwah terbaring dan berlumuran darah selepas kejadian itu.

Ujarnya, arwah sering menjadikan warungnya sebagai lokasi untuk beristirahat sejak hampir 11 tahun lalu dan tidak menyangka lokasi itu menjadi tempat terakhirnya sebelum menemui ajal.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian betul-betul sekelip mata, saya tidak sangka sungguh, pelanggan sedang minum tidak sempat lari kerana lori bergerak laju menuju ke meja arwah.

"Saya cemas melihat arwah terbaring berlumuran darah, manakala rakannya dan pemandu lori cedera," katanya yang masih trauma dengan insiden tersebut.

Bercerita lanjut, Maimum berkata, sebelum kejadian, arwah ada meminta sekeping kertas untuk mencatatkan maklumat penting berkaitan projek.

Dia turut melayan permintaan arwah kerana sudah mengenali lelaki itu sejak memulakan perniagaan di warung berkenaan 11 tahun lalu.

"Saya tidak nampak perubahan sikap arwah semasa datang minum petang tadi, perwatakannya sama sahaja, ceria, suka bergurau," katanya yang berdepan kerugian hampir ribuan ringgit.

Maimum melihat barang jualan bertaburan di dalam warung selepas insiden rempuhan itu.
Maimum melihat barang jualan bertaburan di dalam warung selepas insiden rempuhan itu.

Seorang lagi saksi, pekerja bengkel kenderaan, Lai Yoke Kwai, 59, menarik nafas lega kerana terselamat dalam insiden tersebut.

Ujarnya, kejadian berlaku terlalu pantas, namun dia bersama seorang lagi rakannya sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja mendengar hentaman kuat di persimpangan jalan.

“Saya nampak lori itu datang dengan laju, terus ke arah warung. Saya dengan kawan tidak cedera...umur kami masih panjang.

"Tapi dua pelanggan lagi tidak sempat kerana berada di meja tengah di dalam warung itu," katanya yang kali pertama berdepan detik cemas seperti itu.

Keadaan lori yang merempuh warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran.
Keadaan lori yang merempuh warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja bengkel besi maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah lori merempuh warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua mangsa, masing-masing pelanggan dan pemandu lori berusia 40 dan 25 tahun mengalami kecederaan menerima rawatan di HTAA serta sebuah hospital swasta di Tanjung Lumpur di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!