'Sudah berbelas tahun ayah makan di warung itu'
KUANTAN – Warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan- Maran di sini, yang menjadi tempat terakhir Allahyarham Affendi Abd Rahman menjamu selera sebelum maut dirempuh lori akan terus menjadi kenangan buat keluarganya.
Anak sulung arwah, Shaifuan Hazani Affendi, 31, berkata, warung itu juga menjadi tempatnya menjamu selera dengan bapa sejak berbelas tahun lalu.
Dia berkata, kebiasaannya dia ikut bersama arwah ayahnya makan di warung itu pada waktu rehat bekerja, namun pada hari kejadian dia tidak tergerak hati untuk berehat dan makan di situ.
”Saya juga memang selalu makan di warung (lokasi nahas) sebab waktu rehat memang makan di situ termasuk dengan ayah.
"Sudah berbelas tahun arwah makan di situ bersama kawan-kawan dia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada malam Isnin.
Bercerita lanjut, Shaifuan Hazani memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan arwah ketika bekerja di bengkel ayahnya dua jam sebelum insiden itu berlaku.
Jelasnya, tiada sebarang perwatakan pelik ditunjukkan arwah ketika mereka bekerja bersama-sama.
"Saya nampak arwah ayah normal sahaja, cuma saya pula yang kerap toleh (mencari kelibat) arwah ayah," luahnya yang masih sedih dengan kejadian menimpa mereka sekeluarga.
Shaifuan Hazani menambah, arwah ayahnya sering melakukan kerja- kerja amal termasuk menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam SC di Batu 3, Kuantan, sejak beberapa tahun lalu.
“Arwah ayah memang suka buat kerja kebajikan, arwah menggali kubur secara percuma semasa hayatnya.
"Alhamdulillah, ayah yang sentiasa membantu orang kerana bagi arwah, kalau (ada) orang (yang) susah, dia pun turut terasa susah,” katanya.
Dalam pada itu, Shaifuan Hazani berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.
Ujarnya, meskipun insiden itu berlaku secara tiba-tiba, namun siapalah mereka untuk menidakkan takdir yang sudah tertulis.
”Apa yang terjadi kehendak ALLAH dan kami sekeluarga terima, kalau itu yang terbaik.Saya gembira sebab ALLAH lebih sayangkan (arwah) ayah," katanya lagi.
Jenazah arwah Affendi telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung SC di Batu Tiga pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja bengkel besi maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah lori merempuh warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan dua mangsa lain, iaitu pelanggan dan pemandu lori yang berusia 40 dan 25 tahun, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HTAA serta sebuah hospital swasta di Tanjung Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!