Nombor plat MADANI: Pengarah Program Ilham Madani tuntut kerajaan RM1.3 juta
KUALA LUMPUR – Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta.
Ia membabitkan dakwaan pelanggaran harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri MADANI 1 sehingga 9999.
Hasan Azhari Hashim mengemukakan surat itu pada Isnin, menerusi firma guaman Raj & Sach, Hasan Azhari kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Ahli perniagaan itu menuntut ganti rugi iaitu separuh daripada hasil penjualan nombor plat khas MADANI dalam masa tujuh hari daripada tarikh penerimaan LOD berkenaan.
Jika gagal berbuat demikian, beliau mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang untuk menuntut jumlah ganti rugi berkenaan.
Berdasarkan dokumen LOD tersebut, firma guaman itu berkata, Hasan Azhari merupakan pemilik sah karya hak cipta 'Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri MADANI 1 hingga 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia' yang didaftarkan secara sah, dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
“Melalui surat bertarikh 27 Februari 2023 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu surat cadangan pertama, Hasan Azhari memohon kerjasama dengan agensi kerajaan untuk penjualan nombor itu.
“Pada atau sekitar 14 April 2023, JPJ mengeluarkan kenyataan bahawa jabatan itu tidak mengeluarkan nombor pendaftaran siri MADANI dan menasihatkan orang ramai tidak percaya berita palsu,” kata LOD itu.
Pada atau sekitar 4 Ogos 2023, Hasan Azhari menyatakan hasrat dan permohonan yang sama melalui surat (cadangan kedua), yang diterima Pejabat Perdana Menteri pada 26 September 2023.
Lebih dua bulan kemudian, iaitu 25 Oktober 2023, firma guaman itu berkata, anak guamnya menyatakan cadangan dan permohonan yang sama melalui surat kepada Perdana Menteri (surat cadangan ketiga).
Katanya, Hasan Azhari menerima surat pada 6 Februari lalu yang memaklumkan cadangan itu sedang diteliti.
Bagaimanapun katanya, permohonan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan kerana terdapat ketetapan tidak membenarkan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain entiti selain JPJ.
Bagaimanapun, melalui poster JPJ pada atau sekitar bulan lalu, ahli perniagaan itu mengetahui JPJ mengeluarkan Notis Awam Nombor Pendaftaran Istimewa Siri MADANI dengan harga bidaan minimum bermula RM100.
Katanya, ia bercanggah dengan makluman melalui surat bertarikh 31 Oktober dan 6 Februari yang seterusnya mengguna pakai idea Karya Hak Cipta anak guam kami secara tidak sah, yang juga pelanggaran jelas terhadap hak cipta beliau.
“Anak guam kami mendapati, ia melanggar hak intelek dengan menggunakan, menyalin, mengedar dan mengubah tanpa kebenaran Karya Hak Cipta itu dengan menjual nombor pendaftaran khas kenderaan 'MADANI 1-9999,” katanya.
Pada 25 Oktober lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pembidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang dibuka pada 19 hingga 23 Oktober lepas, berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM2.62 juta.
Menerusi kenyataan, beliau berkata, MADANI 6 merupakan NPI yang dibida dengan harga paling tinggi iaitu RM68,888, diikuti MADANI 5 (RM58,001), MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 (RM42,110).
Beliau berkata, bidaan NPI itu telah menarik penyertaan pembida siri keseluruhan 5,632 orang dan 3,263 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!