JHEAIK siasat dakwaan kes buli pengantin

Tangkap layar dari media sosial Facebook Firdaus Wong Wai Hung yang membuat pendedahan mengenai kes yang didakwa 'buli' pengantin. (Gambar kecil: Abd Ghani)
Tangkap layar dari media sosial Facebook Firdaus Wong Wai Hung yang membuat pendedahan mengenai kes yang didakwa 'buli' pengantin. (Gambar kecil: Abd Ghani)
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) akan menyiasat kes buli pengantin seperti yang didakwa berlaku di salah sebuah masjid di negeri ini baru-baru ini.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

"JHEAIK akan memanggil pihak yang terlibat dalam kes terbabit termasuk mereka yang membuat dakwaan serta individu yang melaksanakan akad nikah tersebut," katanya.

Dalam masa sama, Abd Ghani menegaskan bahawa tidak sepatutnya kes seumpama itu dilaporkan berlaku dan JHEAIK sama sekali tidak akan membenarkan kejadian seperti buli pengantin berlaku di Kedah.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai hantaran yang memaparkan kisah pengantin 'dibuli' ketika majlis pernikahan berlangsung di salah sebuah masjid baru-baru ini.

Pendedahan itu dibuat oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung ketika dia menghadiri upacara pernikahan pasangan pengantin yang didakwa mendapat layanan kurang baik daripada pihak yang mengendalikan majlis berkenaan.

Dalam pendedahan berkenaan, pihak saksi akad nikah dikatakan telah bertanyakan pelbagai soalan kepada pengantin lelaki sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Dakwa Firdaus Wong, berdasarkan pengetahuannya, urusan pernikahan perlu dipermudahkan dan prosedur yang dilakukan oleh pihak masjid berkenaan adalah sama sekali tidak betul.

Dakwanya, walaupun sudah menghadiri banyak majlis pernikahan di negeri berkenaan, namun belum pernah melihat adegan buli sedemikian.

Susulan itu, jelasnya, laporan akan dibuat kepada pihak berkenaan agar imej Islam tidak dicemari karakter seperti itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!