Lubang besar di Jalan Industri Semambu Tiga sudah ditimbus
KUANTAN - Lubang besar di Jalan Industri Semambu Tiga yang menjadi perhatian dan kebimbangan pengguna jalan raya sudah ditimbus oleh pihak berkuasa pada Selasa.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, tindakan awal dilakukan dengan menimbus lubang tersebut menggunakan batu penghancur dan pasir bagi mengurangi risiko kecelakaan.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama YP Maintenance telah mengambil langkah sementara ini dengan menutup lubang tersebut.
"Tindakan itu dilakukan bagi mencegah insiden yang tidak diingini," kata Razali ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau menambah, tindakan itu diambil sebagai langkah awal sebelum kerja pengalihan kabel Telekom Malaysia (TM) dilaksanakan.
Jelasnya, kabel telekomunikasi bawah tanah milik TM dipercayai menjadi punca utama kerosakan jalan yang menyebabkan kemunculan lubang besar tersebut.
"Pengalihan kabel TM serta pembaikan kekal dijangka dimulakan minggu hadapan.
"Kami akan melakukan pemantauan berterusan agar isu ini dapat diselesaikan dengan cepat dan sempurna," ujarnya.
Terdahulu, rakaman video di platform TikTok yang memperlihatkan kewujudan lubang sedalam empat meter tersebut telah tular.
Tindakan segera diambil oleh Razali bersama pihak JKR dan TM dengan meninjau kawasan kejadian pada petang Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!