Kelantan bincang dengan Kerajaan Persekutuan bina tembok di Sungai Golok
KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok bagi membendung masalah penyeludupan serta aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram.
Menurut beliau, pembinaan tembok dari Jeli sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat itu melibatkan jarak 100 kilometer (km).
"Ketua Polis Kelantan ada memberi cadangan pada kita (kerajaan negeri) tentang pembinaan tembok untuk elak penyeludupan, aktiviti seberang sungai, pil yaba.
"Saya kata betul, memang itu yang kita hendak. Insya-ALLAH kita akan ambil cadangan itu dan angkat kepada Kerajaan Persekutuan," katanya ketika sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau merasmikan Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Hotel Renai di sini.
Menurut beliau, pihak keselamatan yang menjaga sepanjang Sungai Golok tidak mampu untuk mengawal sepenuhnya disebabkan jarak dan bentuk muka bumi.
"Oleh demikian pembinaan tembok itu dilihat lebih relevan.
"Selain itu tembok tersebut berperanan sebagai tebatan banjir selain menyekat aktiviti rentas sempadan," katanya.
Mengulas mengenai pangkalan haram, Mohamed Fadzli berkata, sukar kerana tanah di sepanjang Sungai Golok adalah milik individu dan tidak mempunyai rizab sungai.
"Kalau sudah masuk menggunakan pangkalan haram, sukar dan payah untuk dikawal. Kebanyakan benda yang tidak baik itu adalah melalui pangkalan haram.
"Dalam hal ini pihak berkuasa sudah terlalu ketat menjaga sempadan, tinggal lagi apa yang berlaku. Saya rasa selepas pada ini pihak berkuasa akan ketatkan lagi," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Polis Kelantan mendedahkan Pekan Golok, Thailand yang hanya berjarak kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadi 'pusat hiburan' kepada rakyat Serambi Makkah terutama anak muda pada hujung minggu.
Rakyat Kelantan hanya perlu menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram yang ada untuk berhibur di sana, selain dipercayai menikmati 'sajian' dadah ditawarkan di pusat-pusat hiburan.
Mohd Yusoff Mamat berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan sekerjanya di sana kelmarin mendedahkan bahawa sangat ramai anak muda dari negeri ini terutama pada Jumaat dan Sabtu ke sana untuk berhibur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!