Kelantan gazet 400 hektar tanah di Lojing untuk Rafflesia

Mohamed Fadzli semasa Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Kota Bharu.
Mohamed Fadzli semasa Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggazetkan 400 hektar tanah di Lojing, Gua Musang sejak 13 tahun lalu untuk tujuan pemuliharaan Rafflesia atau bunga Pakma sebagai pemangkin kepada industri ekopelancongan yang semakin berkembang di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, terdapat tiga spesies Rafflesia ditemui di kawasan tersebut iaitu kerri, cantleyi dan sumeiae.

"Paling membanggakan apabila di sini terdapat Rafflesia kedua terbesar di dunia.

"Pada tahun 2022, kerajaan negeri telah melancarkan Taman Pemuliharaan Rafflesia, yang kini menjadi tumpuan bagi penyelidikan alam sekitar dan pelancongan," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Hotel Renai di sini.

Dalam ucapan tersebut beliau turut menekankan bahawa spesies Rafflesia, seperti banyak spesies lain berisiko untuk pupus.

Ujarnya, Kelantan bukan sahaja melindungi atau sekadar menjaga satu bunga, tetapi juga mengekalkan keseimbangan keseluruhan ekosistem yang mengelilinginya.

Kerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti, dan pelancong untuk memastikan Rafflesia terus berkembang maju untuk generasi akan datang.
Kerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti, dan pelancong untuk memastikan Rafflesia terus berkembang maju untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, seiring dengan perkembangan sektor pelancongan di Kelantan, semua pihak perlu melakukannya dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab, memastikan ia tidak merosakkan apa yang ingin dilindungi.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini membawa kita kepada tema kongres ini, "Harmoni dengan Rafflesia: Menyeimbangkan Pemuliharaan dan Pelancongan di Kelantan".

"Seperti kata pepatah, 'dapat dua burung dengan satu batu', kita dapat mencapai keseimbangan antara memelihara spesies yang berharga ini dan mempromosikan pelancongan untuk pembangunan ekonomi.

"Tetapi untuk mencapai itu, kita perlu bekerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti, dan pelancong untuk memastikan Rafflesia terus berkembang maju untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau yakin kongres ini akan menjadi platform untuk perbincangan yang bermanfaat dan perkongsian idea yang inovatif kerana telah menghimpunkan pakar-pakar dari seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!