Hadiah Deepavali buat pekebun bebas tuduhan bunuh ibu saudara
SEREMBAN - Seorang pekebun yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya menyifatkan keputusan itu sebagai hadiah Deepavali.
G Gobinathan, 48, turut bersyukur selain meluahkan kelegaan dan gembira kerana dapat berjumpa ibunya yang sudah tua.
"Selepas ini, saya akan balik jumpa mak berusia 75 tahun di Bandar Sri Jempol, dia tahu hari ini keputusan mahkamah tetapi tak dapat datang dan keputusan saya dibebaskan belum diketahuinya, saya nak terus jumpa beritahu berita gembira ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas keputusan itu.
Terdahulu, Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gobinathan di akhir kes pendakwaan.
"Selepas membuat penilaian yang menyeluruh, saya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Gobinathan didakwa membunuh A. Nirmala, 54, di sebuah rumah di kampung di Ayer Hitam, Jempol dekat sini antara jam 7.30 malam hingga 3.30 pagi pada 3 hingga 4 Mac 2021, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Hazwani Omar manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Sebanyak 13 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula 20 November 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!