RUU tahanan rumah, KDN beri penjelasan Khamis ini
KAJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu hukuman tahanan di rumah pada Khamis ini di Dewan Rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjelasan itu akan diberikan semasa penggulungan peringkat dasar KDN.
Beliau berkata, perkara penting itu perlu diberikan pencerahan dan platform terbaik adalah ketika KDN mendapat peluang membuat penggulungan di peringkat dasar.
"Saya mengikuti sepenuhnya reaksi banyak pihak setelah tajuk tahanan di rumah dimasukkan dalam teks bajet Perdana Menteri.
"Ini kerana ia mengundang pelbagai pandangan, maka saya akan menelitinya satu persatu dan memilih untuk melakukannya pada ketika sesi penggulungan peringkat dasar KDN yang dijadualkan pada Khamis.
"Saya akan menjelaskannya secara terperinci apakah rasionalnya," katanya ketika sidang akhbar selepas Sesi Town Hall Menteri Dalam Negeri bertajuk 'Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti' di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di sini pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN secara dasarnya telah mendapat 'lampu hijau' daripada kabinet bagi melaksanakan tahanan di rumah.
Jelasnya, setelah keputusan dasar diperoleh, tindakan berikutnya oleh KDN adalah melakukan banyak sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.
Setelah itu katanya, KDN akan menggubal satu draf RUU yang namanya Akta Tahanan Rumah dan undang-undang tahanan rumah serta prosesnya.
Katanya, beberapa perkara perlu dibincangkan seperti proses program, parameter dan berapa ramai yang patut dipertimbangkan mengikuti program itu.
Sehubungan itu kata beliau, Jabatan Penjara dan KDN sudah siap dengan semua data yang diperlukan.
"Saya percaya, semua itu pada akhirnya akan memberi penjelasan yang mampu menjernihkan beberapa pandangan daripada pihak tertentu tentang cadangan tahanan di rumah.
"Yang mana terkadang saya tengok perkara ini hanya tertumpu kepada seorang individ sahaja," ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, terdapat kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu akan dipertimbangkan untuk program berkenaan.
Namun begitu menurutnya, ia tidak bermakna kesemua yang memohon itu akan diberikan tahanan rumah secara serentak.
"Ada beberapa lagi beberapa kriteria yang perlu dipenuhi seperti tidak pernah melanggar disiplin sepanjang mereka menjalani hukuman dan pelbagai perkara lagi.
"Untuk itu, Jabatan Penjara dan kementerian saya sudah siap dengan semua datanya," ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Anwar berkata, menerusi akta itu pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian antaranya seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!