SK Seksyen 20 pertahan Piala Raja Muda Selangor
[DIKEMAS KINI] SEKOLAH Kebangsaan (SK) Seksyen 20 muncul juara Piala Raja Muda Selangor selepas menewaskan SK Seri Pristana dalam perlawanan akhir di Padang SUK Latihan Selangor pada Selasa.
Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu tidak merencatkan aksi kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan agresif sepanjang perlawanan.
SK Seksyen 20 yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan dicabar hebat SK Seri Pristana menyaksikan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat masa sebenar mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Bagaimanapun, SK Seksyen 20 nyata lebih unggul dalam penentuan penalti untuk memastikan kemenangan 3-2 dalam aksi kejohanan bawah 12 tahun tersebut.
Mengulas mengenai kejayaan mempertahankan Piala Raja Muda Selangor itu, Jurulatih SK Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari memuji komitmen para pemainnya yang turut berjaya muncul juara berganda selepas memenangi Piala Sumbangsih pada bulan lalu.
"Alhamdulillah, kejayaan yang amat bermakna terutama apabila dapat mempertahankan kejuaraan tahun lalu dan muncul juara berganda.
"Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi pada hari ini walaupun kita tahu pihak lawan memberikan tentangan yang sukar," katanya kepada Sukan Sinar.
Selaku juara, SK Seksyen 20 membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala SK Seri Pristana membawa pulang RM4,000.
Hadiah kejohanan disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad), Ahmad Fariz Hassan; Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Timbalan Pengerusi Kejohanan, Hashim Anang.
Saingan Piala Raja Muda Selangor edisi ke-35 menyaksikan penyertaan sebanyak 32 pasukan yang dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Kejuaraan pembangunan bakat B-12 ini mendapat penajaan daripada KPS Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!