Buli pegawai kadet UPNM: 'Motif disyaki gurauan melampau'
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gurauan secara keterlaluan dipercayai motif kejadian seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, ditekap seterika pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati tidak terdapat unsur dendam dan pergaduhan dalam kejadian itu.
"Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.
"Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata 'ragging' tak juga, itu bukan 'ragging'. Bila ada benda-benda berbahaya ni seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena," katanya pada sidang akhbar di Dewan Serbaguna Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Rusdi merasmikan program pendekatan kesedaran kes jenayah seksual dan penipuan dalam talian.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung kejadian itu juga sudah diserahkan Jabatan Peguam Negara dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut.
"Polis telah merakam percakapan 16 individu termasuk pegawai kadet yang ditekap dan yang menekap seterika, rakan sebilik, jurulatih dan perakam video.
"Kami sudah melengkapkan siasatan namun masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan ke atas pegawai kadet terbabit," katanya.
Mengulas berhubung tiada tangkapan dilakukan, Rusdi berkata, tiada keperluan tangkapan dilakukan kerana pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit.
"Ia bergantung kepada kes, tangkapan dalam apa-apa sahaja siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat kes buli babit seorang pegawai kadet di UPNM.
Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.
Pada Ahad, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!