Anwar rasmi Pavilion Malaysia di CIIE ke-7 di Shanghai

Anwar (tengah) melawat pempamer di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai, China. Foto Bernama
Anwar (tengah) melawat pempamer di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai, China. Foto Bernama
A
A
A

SHANGHAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai, China.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke China mulai semalam hingga 7 November atas jemputan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang untuk menghadiri persidangan itu.

Menerusi hantaran di laman X, Anwar berkata, Pavilion Malaysia yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menampilkan 16 pempamer dan 17 reruai yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan serta teknologi inovasi daripada syarikat Malaysia.

Antara sektor utama yang menyertai Pavilion Malaysia termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pertanian, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kandungan kreatif, perkhidmatan perniagaan dan logistik.

"Saya turut berkesempatan merasmikan Pavilion Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) yang disertai 18 syarikat tempatan dan 31 reruai daripada industri makanan dan minuman serta perkhidmatan, sekali gus memperluas kehadiran Malaysia dan peluang kerjasama dengan syarikat negara lain,” kata Perdana Menteri.

Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Terdahulu, Perdana Menteri, China Li Qiang mengetuai delegasi para pemimpin utama negara mengunjungi beberapa pavilion negara di ekspo tersebut, termasuk Pavilion Malaysia selepas majlis pembukaan rasmi CIIE.

China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!