324 graduan UUM terima gaji premium lebih RM4,000 sebulan

Dr Mohd Foad (tiga dari kiri) pada sidang media Majlis Konvensyen ke-37 UUM di pada Selasa.
Dr Mohd Foad (tiga dari kiri) pada sidang media Majlis Konvensyen ke-37 UUM di pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) merekodkan kadar 95 peratus kadar kebolehpasaran graduan dengan 324 graduan sarjana muda menerima gaji premium melebihi RM4,000 sebulan.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, sembilan graduan sarjana muda menerima pendapatan melebihi RM10,000 sebulan walaupun belum menaiki pentas majlis konvokesyen.

Beliau berkata, pihaknya mengesan kadar kebolehpasaran graduan UUM itu melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG).

"Dalam kajian yang kita lakukan di bawah Sistem Kajian Pengesanan Graduan pada tahun lepas, UUM mencapai 95 peratus dan pastinya pada tahun ini kita juga mensasarkan angka yang sama.

"Melalui survei telah dikeluarkan daripada 6,144 graduan,kita lihat kenaikan ataupun dapatan yang paling ketara adalah sejumlah 324 graduan mempunyai gaji premium melebihi RM4,000," katanya ketika sidang media Majlis Konvensyen ke-37 UUM di Jalan Stadium, di sini, pada Selasa.

Beliau berpandangan, jumlah graduan mencapai gaji premium terbabit juga didapati meningkat berbanding tahun lepas.

"Daripada 324 graduan berkenaan, kita telah pun dapat mengenal pasti sembilan orang daripadanya telah pun berpendapatan RM10,000 ke atas pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, prestasi dicatatkan graduan UUM disifatkan pada tahun ini terutamanya apabila diukur dari segi gaji premium dan pendapatan bulanan mereka.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 6,742 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi di Majlis Konvokesyen Ke-37 UUM yang akan bermula pada 10 sehingga 14 November 2024 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Kata Dr Mohd Foad, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.

"Daripada keseluruhan 6,742 graduan tersebut, seramai 5,539 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,126 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dan selebihnya 77 graduan Diploma Eksekutif.

"Majlis konvokesyen ini melibatkan 6,330 graduan tempatan dan 412 lagi adalah graduan antarabangsa dari 24 negara antaranya dari Indonesia (151), China (55), Somalia (31), Arab Saudi (29) dan Palestin (6),"katanya.

Beliau turut memaklumkan, penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan menerima tunai RM 7,500.00 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima tunai RM 4,000.00 berserta sijil.

"UUM juga meraikan 30 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) Dengan Kepujian (21), Sarjana Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) (8) dan Doktor Pendidikan (1),"katanya.

Dr Mohd Foad menyatakan, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen atau PESKON37 bermula 8 hingga 16 November 2024 dengan tema “Alumni Gemilang” bersempena Majlis Konvokesyen itu dengan jumlah pengunjung dijangka hadir tahun ini mencecah 18,000 orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!