GX Bank perkenal dua produk pinjaman baharu
GX Bank memperkenalkan dua produk pinjaman baharu iaitu GX FlexiCredit dan GX Biz Banking bertujuan membantu rakyat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini dalam mencapai matlamat kewangan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Pei-Si Lai berkata, GX FlexiCredit diperkenalkan mulai November bagi memberi kelonggaran kepada pelanggan untuk mendapatkan pengeluaran tunai segera dengan hanya faedah ke atas jumlah yang dikeluarkan itu.
"Mereka yang layak dan memenuhi syarat boleh menerima kelulusan segera untuk had kredit sehingga RM150,000 dalam hanya beberapa minit.
“Pelanggan juga mempunyai fleksibiliti untuk mendapatkan pengeluaran tunai segera (dengan hanya faedah ke atas jumlah pengeluaran) dan pilihan untuk menyelesaikan bayaran lebih awal tanpa sebarang yuran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran GX2.0 - Next Starts Now di Galleria Avenue Malaysia, Petaling Jaya pada Selasa.
Menurut Pei-Si, selaras dengan usaha kerajaan dalam menutup jurang pembiayaan bagi PMKS, GX Biz Banking menjadi penyelesaian untuk komuniti perniagaan membuka akaun dan memperoleh akses lebih mudah kepada sokongan perbelanjaan berkenaan.
Kata beliau, sama seperti akaun GX individu, akaun GX Biz adalah yang pertama dalam industri yang menawarkan pendaftaran digital sepenuhnya dan pembayaran kadar faedah harian untuk perniagaan.
“Dengan akaun GX Biz, usahawan mikro boleh memohon GX Biz FlexiLoan dengan mudah melalui aplikasi dan jika layak, mendapat kelulusan segera untuk had kredit sehingga RM150,000.
“Pelanggan juga mempunyai pilihan tempoh pembayaran fleksibel sehingga tiga tahun serta fleksibiliti untuk membuat pembayaran awal tanpa sebarang yuran atau faedah tambahan,” jelas beliau.
Tambahnya, bermula dengan ekosistem Grab Malaysia, GXBank menyasarkan untuk memperluaskan akses GX Biz Banking kepada semua perniagaan kecil di seluruh Malaysia menjelang suku pertama tahun 2025.
Dalam pada itu, Pei-Si turut memaklumkan pihaknya melancarkan TeXnovasi, hasil kerjasama dengan Grab Malaysia bertujuan memajukan ekosistem syarikat rintis di Malaysia melalui kerjasama dengan institusi kewangan.
“Program ini akan menyediakan bimbingan peribadi daripada pemimpin industri di samping bengkel yang dikendalikan oleh pakar mengenai inovasi, kemasukan pasaran dan cara mendapatkan pelaburan.
“Syarikat perintis tempatan yang ingin mencipta penyelesaian berimpak untuk memacu landskap kewangan Malaysia boleh memohon untuk menyertai program pemecut ini melalui laman web GXBank.
Katanya lagi, usaha yang disokong oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), MYStartup dan 1337 Ventures itu, menyediakan bimbingan peribadi daripada pemimpin industri, bengkel pakar mengenai inovasi, kemasukan pasaran dan cara mendapatkan pelaburan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!