Anwar bertemu Li Qiang, berterima kasih kepada China atas sokongannya untuk BRICS
SHANGHAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang, di The Grand Halls pada Selasa, membicarakan hal-hal kepentingan bersama Malaysia dan China sejak pertemuan terakhir mereka di Putrajaya pada 19 Jun lepas.
Dalam pertemuan itu, Anwar menyatakan Malaysia "amat berterima kasih" kepada China yang berada di barisan hadapan dalam menyokong penyertaan Malaysia dalam BRICS, blok ekonomi baharu yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
"Semuanya berjalan lancar, dan kami telah mengembangkan kerjasama ke semua bidang, termasuk ekonomi, sosial, pendidikan, penyiaran, ketenteraan, dan perlindungan sempadan," kata Anwar.
Anwar turut mengimbas kembali lawatan Li ke Malaysia sebagai satu peristiwa yang bermakna, baik untuk dirinya secara peribadi mahupun bagi kerajaan Malaysia, yang mempercepatkan perbincangan mengenai pelaburan utama dan isu-isu dua hala yang kritikal.
Lawatan kerja Anwar ke China, dari 4 hingga 7 November, termasuk lawatan ke Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.
Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
China telah mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, menggambarkan keteguhan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!